PERCAYA KEPADA HARI KIAMAT

bismillahirrahmaanirrahiim

SEMUA MAKHLUK PASTI MATI


Semua makhluk yang hidup pasti mati, baik yang berupa manusia, binatang, jin, syaitan dan malaikat. Mereka ini tidak kekal. Yang kekal hanyalah Allah Subhanahu wa taala. Allah berfirman dalam Surah Al-Imran, ayat 185 , ertinya :



"Setiap jiwa itu merasakan kematian".

Adakah kita tahu bila kita akan mati? Tentu sekali tidak. Itu semua ditentukan oleh Allah s.w.t. Ada orang mati muda dan ada pula yang mati tua.

Walau di mana sahaja kita berada, kita pasti mati. Yakni kita tidak dapat melarikan diri dari mati. Firman Allah dalam Surah An-Nisa; ayat 78, ertinya :

"Di mana sahaja kamu sekalian berada, pasti kamu sekalian akan dicapai oleh kematian itu sekalipun kamu berada di dalam gedung-gedung yang tinggi.

HAKIKAT MATI 


Ramai sekaliorang yang takut mati. Ramai juga orang yang ingin mati cepat dengan membunuh diri. Kedua-dua ini salah dan tidak dibenarkan sama sekali oleh agama Islam.


Bila datangnya kematian itu sudah ditetapkan dan ditulis sejak azali dahulu. Hal ini ditekankan oleh Allah s.w.t. dalam Surah An-Nahl, ayat 61 , ertinya :



"Maka apabila sudah tiba ajal orang-orang itu, tidak dapatlah mereka mengundurkannya walaupun sesaat dan tidak dapat pula menangguhkannya"

INGAT PADA MATI

Seperti yang telah diketahui, kita tidak tahu bila kita akan mati. Adakah hari ini semasa kita sedang belajar, esok semasa kita sedang tidur ataupun lusa semasa kita sedang bermain dengan kawan-kawan.


Oleh itu adalah wajib bagi kita sentiasa mengingat akan hari mati kita. 


Maksudnya kita perlu beramal di samping belajar atau membuat kerj-kerja yang lain.


Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, ertinya :



"Bekerjalah untuk mencari keduniaanmu, seolah-olah engkau akan hidup selama-lamanya dan beramal ibadatlah untuk akhiratmu, seolah-olah engkau akan mati esok hari."



SEGERALAH BERBUAT BAIK

Jikalau kita sentiasa memikirkan bila datangnya mati itu, pasti kita akan segera mengamalkan kebaikan sebanyak mungkin.

Orang yang suka mengerjakan amal salih pasti tidak akan takut memasuki alam akhirat.


menolong orang yang memerlukan (gambar hiasan)



SAKRATUL MAUT

Sakratul-maut bermaksud waktunya seseorang itu telah hampir dengan waktu matinya. Ketika itu malaikat Izrail sudah mulai mencabut rohnya.

Bagi seorang mukmin, rohnya ditarik dengan perlahan sekali. Tetapi bagi orang kafir atau munafik, rohnya ditarik dengan keras tanpa belas kasihan.

Keluarnya roh dapat dilihat dari gerak mata. Jika rohnya dicabut, maka mata pun tertutup. Roh itu tahu siapa yang datang menziarahinya bahkan menjawab salam orang itu.


UCAPAN MAYAT KETIKA DIBAWA KE KUBUR


Mayat yang diusung ke kubur tidak berdiam diri tetapi berkata-kata. Kata-kata mayat yang berbuat amal berbeza dengan kata-kata mayat yang berbuat jahat. Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang berbunyi, ertinya :



" Apabila mayat itu sudah diletakkan dalam keranda dan dibawa oleh orang lelaki di atas bahu mereka - yakni ke kubur maka jika mayat itu orang yang berbuat amal semasa hidupnya akan berkata : 'Segerakanlah olehmu semua membawa aku k kubur ini.' Tetapi jika mayat itu berbuat jahat semasa hidupnya akan berkata : 'Ke manakah engkau semua membawa aku? '. Suara mayat dapat didengar oleh segala benda selain manusia. Seandainya manusia dapat mendengarnya, tentulah mereka menjadi bingung.'


TANDA-TANDA HARI KIAMAT (KECIL)

Tidak seorang pun makhluk yang tahu bila tibanya hari kiamat. Rasulullah s.a.w. sendiri tidak tahu. Yang tahu hanyalah Allah s.w.t. Walau bagaimanapun Allah ada memberi tanda-tanda sudah dekat tibanya hari kiamat itu.

  1. Ilmu diangkat. Maksudnya ilmu agama sudah tidak dianggap penting lagi. Akhirnya ia lenyap kerana tidak ada orang yang ingin mempelajarinya.
  2. Zina berleluasa. Contohnya rumah-rumah pelacuran diizinkan menjalankan perniagaan oleh pihak pemerintah.
  3. Arak diminum tanpa malu dan segan.
  4. Orang perempuan melebihi orang lelaki. Contohnya ada seorang lelaki daln 50 orang perempuan.
  5. Ramai alim ulama yang sudah meninggal dunia.
  6. Gempa bumi kerap berlaku.
  7. Masa berlalu terlalu cepat.
  8. Banyak fitnah-memfitnah.
  9. Banyak bunuh-membunuh.
  10. Munculnya orang yang mengaku menjadi Nabi. Contohnya Alyasya' Mohammad yang mengaku dirinya Nabi telah banyak menyesatkan umat Islam di Mexico. 


TANDA-TANDA BESAR 



gambar hiasan


Ketika hari kiamat sudah terlalu dekat tibanya, maka akan terjadilah beberapa peristiwa besar yang belum pernah dialami oleh manusia.


Antaranya ialah :


1.
Matahari terbit dari sebelah barat.

    Apabila hal ini berlaku bermakna pintu taubat telah     ditutup oleh Allah s.w.t. Dengan     ini Allah tidak lagi menerima taubat seseorang.

2. Munculnya binatang ajaib.
    Binatang ini tidak diketahui rupanya. Hanya Allah s.w.t. sahaja yang tahu. Ia dapat           bercakap-cakap dan dapat membezakan orang mukmin dan orang kafir.


3. Keluarnya Imam Al-Mahdi.
    Cerita-cerita tentang Imam Mahdi ada disebutkan dalam beberapa hadis iaitu : 


         i)  Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dan Imam Tarmidzi bermaksud :                'Imam Mahdi itu akan keluar di akhir zaman. Namanya Muhammad bin Abdullah                   atau Ahmad bin Abdullah.'

         ii)  Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu DAwud dan Imam Hakim bermaksud :                   'Imam Mahdi itu termasuk dalam lingkungan ahlulbait atau ahli keluarga                             Rasulullah s.a.w. yakni dari puteri baginda yang bernama Fatimah.'
         iii) Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud yang bermaksud : 'Imam Mahdi                   itu menyerupai Rasulullah s.a.w. dalam hal budi pekertinya tetapi tidak                             menyamai dalam bentuk rupa atau bentuk tubuhnya.'
         iv) Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud yang bermaksud : 'Imam Mahdi                   menetap selama tujuh tahun.' 

4. Keluarnya Dajal.
    Dajal ertinya banyak dusta dan penipuan. Dajal ialah seorang manusia yang berasal           dari bangsa Yahudi. Dia mengaku menjadi Tuhan dan berusaha keras supaya manusia         menyembahnya dengan membuat berbagai perkara yang aneh dan ajaib. Akhirnya             tembelang Dajal itu diketahui juga. Pengaruhnya lenyap malahan dia sendiri dapat           dibunuh oleh kuam muslimin do bawah pimpinan Nabi Isa a.s.

5. Turunnya Nabi Isa a.s.
    Ketika Dajal sedang berkuasa denga penganutnya yang ramai, Nabi Isa a.s. turun ke           bumi. Baginda dan kaum muslimin berjaya membunuhnya. Baginda memandu manusia       ke jalan kebenaran semula. Setelah menetap di atas bumi untuk beberapa lama,               akhirnya baginda wafat. Jenazahnya disembahyang dan dikebumikan oleh kaum                 muslimin.

6. Keluarnya asap.
    Asap ini memenuhi seluruh alam semesta selama 40 hari, Jika ianya kena kepada orang     mukmin, mereka hanya mendapat selsema sahaja tetapi jika kena pada orang kafir,           mereka akan mabuk. Asap itu pula akan keluar dari hidung, mata, telinga dan dubur         mereka.

7. Rosaknya Kaabah.

    Orang-orang tertentu akan merosakkan Kaabah. Kejadian ini berlaku setelah wafatnya       Nabi Isa a.s. Ia disebutkan dalam hadis riwayat dari Hudzaifah r.a. yang berbunyi               ertinya :
    ' Seolah-olah aku bertemu dengan orang Habsyi yang gelang kakinya yang panjang dan        satu lagi pendek. Matanya biru, hidungnya kembang, perutnya buncit. Dia dan kawan-        kawannya sama-sama merosakkan Kaabah.'

8. Lenyapnya Al-Quran dari mushaf dan hati.
    Ertinya tulisan Al-Quran hilang sama seklai. Yang tinggal hanyalah kertasnya yang putih     bersih. Tidak seorang pun yang ingat akan bunyinya. Mereka yang sudah menghafaz Al-     Quran pun tidak ingat walau sepatah perkataan pun.

9. Orang di seluruh dunia menjadi kafir semuanya.
    Inilah tanda kiamat yang terakhir sekali. Jika perkara ini berlaku, hari kiamat pasti           akan terjadi tidak lama lagi. Jika di atas bumi ini ada orang yang dapat menucapkan         kalimah syahadah, maka kiamat masih belum tiba. Hal ini jelas disebutkan oleh                 Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya, ertinya :

    ' Tidak akan terjadi hari kiamat, sehinggalah di atas permukaan bumi ini tidak ada lagi         diucapkan kalimat Allah, Allah.'

    Maksudnya lafaz Allah tidak diucapkan lagi. Ilmu Tauhid sudah lenyap dari hati seluruh       umat manusia. Sudah tidak ada seorang pun yang masih mengesakan Allah s.w.t.

    Bahkan dalam hadis lain ada disebutkan sebagai berikut,ertinya :

    ' Sesungguhnya Allah azza wa jalla berfirman kepada Malaikat Israfil : Jikalau engkau           mendengar ada orang mengucapkan Allah, Allah ; maka tangguhkanlah tiupan                   sangkakala selama 40 tahun lagi, kerana untuk memuliakan orang yang                             mengucapkannya. '

     Setelah tidak ada seorang manusia pun yang mengenal Allah, maka Malaikat Israfil pun      meniup sangkakalanya menandakan terjadinya hari kiamat.


ALHAMDULILLAH


Penulis : LOKMANIYAH HJ. AHMAD
Tajuk buku : PERCAYA KEPADA HARI KIAMAT
Tahun Cetakan : 1987
Penerbit : PUSTAKA SRIWIDAYA
Dicetak oleh : PERCETAKAN P.K.S. Sdn. Bhd
Bilangan muka surat : 24





Comments

Popular posts from this blog

Kisah Serigala dengan Nabi Ya'qub A.S. dan Nabi Ibrahim Dibakar

ISABELLA Pemusnah Islam di Sepanyol

IBNU RUSYD