KHAULAH BT. AZUR/AZWAR/AZUAR Srikandi Perang Yarmuk
Bismillahirrahmaanirrahiim
Berdepan Dengan Pasukan Rumawi
Berita tentang kemenangan demi kemenangan yang dicapai oleh tentera Islam di bawah pimpinan Khalid bin Walid, si Pedang Allah dalam pertempuran menentang kaum kafir penyembah api di daerah Parsi, semakin menguatkan pendirian Khalifah Abu Bakar untuk mengutus pasukan Islam yang dipimpin oleh panglima yang gagah berani itu, kerana pasukan Islam yang dipimpin oleh Abu Ubaidah bin Jarrah tidak berdaya melakukannya.
Pemerintah dari khalifah ini segera dilaksanakan oleh Khalid bin Walid dengan penuh patuh dan disiplin, lantas beliau dengan penuh semangat juang memimpin pasukannya menuju utara Makkah. Peristiwa ini terjadi pada tahun 13 Hijrah.
Berita pergantian panglima perang Islam ini sampai kepada Kaisar Hiraclius, pemimpin Rumawi ketika itu. Berita ini amat mengejutkan beliau, sebab beliau sudah mengenal sepak terajang dan keberanian Khalid bin Walid. Oleh yang demikian, maka Kaisar Hiraclius mengutus perwakilannya menemui pasukan Khalid bin Walid dan menawarkan perdamaian dengan mereka.
Sebelum para utusan itu berangkat, Kaisar Hiraclius mengatakan kepada mereka, agar mereka berikan saja separuh daripada hasil negeri Syam kepada pasukan Islam itu. Kemudian dinasihatkannya agar pasukannya bertahan di bukit-bukit Rumawi, kerana itu adalah lebih baik bagi mereka daripada mereka merebut negeri Syam seluruhnya.
Utusan itu diterima oleh kaum Muslimin yang ketika itu sedang berkhemah di daerah perbatasan. Bagi kaum Muslimin, perdamaian itu dapat diterima dengan syarat, hendaklah orang-orang Rumawi memeluk agama Islam, atau mereka mesti membayar jizyah. Sekiranya kedua-dua perkara itu tidak diterima, maka pedanglah yang akan menyelesaikannya.
Pasukan Rumawi tidak menerima cara perdamaian yang dikemukakan oleh pasukan Islam itu, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk tetap berperang. Maka kedua-dua pasukan membuat persiapan perang, tentera Rumawi ketika itu berada di bawah pimpinan Theodore, saudara Kaisar Hiraclius, manakala pasukan Islam tetap berdiri teguh di belakang kepimpinan Khalid bin Walid.
Kedua-dua pasukan setuju untuk memilih Yarmuk sebagai gelanggang perang, kerana sesuai dengan permintaan Kaisar, bahawa kawasan itu mempunyai banyak air, mudah melakukan serangan dan susah untuk melarikan diri. Permintaan ini diterima oleh kaum Muslimin, sebab mereka melihat bahawa kedudukan pasukan Rumawi ketika itu dalam keadaan terkepung oleh danau, sungai, lembah dan pasukan kaum Muslimin yang sudah mendirikan khemah di sekitar kawasan itu.
Saat itu berserulah Amru bin ‘Ash dengan gembiranya.
“Wahai manusia…! Demi Allah, pasukan Rumawi telah terkepung, dan orang yang terkepung itu jarang yang berhasil…!”
Kedua-dua pasukan tersebut berdiam diri beberapa bulan, tidak ada terjadi peperangan di kalangan mereka hinggalah bulan Jamadilakhir tahun itu. Sikap berdiam diri ini bertujuan untuk melihat bagaimana caranya pihak lawan memulai serangannya, sementara itu kedua-dua pihak menambah kekuatan pasukannya. Bahkan pihak Rumawi meminta bantuan para pendeta untuk mengobarkan semangat juang kepada para perajurit yang bakal bertempur di medan juang. Manakala pasukan Islam pula membawa Al Quran ke khemah-khemah mereka dan membacanya dengan bacaan yang memberi kesan mendalam ke dalam jiwa mereka, sehingga dengannya mereka memperolehi pelajaran dan pembinaan jiwa, sehingga masing-masing mereka merasa tergugah untuk bangkit dan berjuang mempertahankan kebenaran Islam.
Sebelum melakukan serangan, Panglima Khalid bin Walid menasihatkan agar pasukan- pasukan Islam yang ada ketika itu berada di bawah satu pimpinan, janganlah mereka menyerang secara terpencar-pencar. Sebab hal itu akan melemahkan kaum Muslimin. Maka Khalid bin Walid mengatur serangan dengan meletakkan pasukan yang dipimpin oleh Abu ‘Ubaidah di bahagian tengah, pasukan yang dipimpin oleh Amru bin ‘Ash berada di sayap kanan, pasukan yang dipimpin oleh Yazid bin Abu Sufyan berada di sayap kiri.
Dalam pasukan Islam ketika itu disertai oleh beberapa orang wanita terhormat, srikandi-srikandi yang tangguh di medan perang, di antaranya ialah Asma’ binti Abu Bakar, isteri Ikrimah bin Abu Jahal, Khaulah binti Azur dan beberapa isteri perajurit lainnya.
Khaulah adalah seorang wanita Quraisy yang berparas cantik, berkulit putih, bertubuh tinggi lampai, berbudi halus dan bersikap lemah-lembut. Di sebalik keayuannya yang menawan itu, Khaulah memiliki pendirian yang tegas, berkemahuan kuat dan pemberani, yang keberaniannya melebihi para perajurit Islam lain-lainnya sehingga Panglima Khalid menyangka bahawa Khaulah adalah pemimpin beberapa pasukan dalam menumpaskan tentera Rumawi.
Pada saat peperangan sedang berkecamuk antara kaum Muslimin dengan tentera Rumawi di Yarmuk, datanglah berita dari Madinah Al-Munawwarah, yang mengatakan bahawa Khalifah Abu Bakar telah wafat, dan pemimpin pemerintahan Islam diserahkan kepada Umar bin Khattab, beliau jualah khalifah Rasulullah yang mula-mula menggunakan gelaran Amir Al-Mukminin.
Berita kewafatan khalifah yang budiman ini amat menggoncangkan hati kaum Muslimin di medan pertempuran. Namun Khalid bin Walid segera mengetahui hal itu, lantas beliau kembali menanamkan semangat kepada prajurit-prajuritnya, dan mengatakan bahawa kepemimpinan ketika itu telah beralih ke tangan Umar bin Khattab, seorang lelaki yang berani, yang keberaniannya menggerunkan Abu Jahal dan musuh-musuh Allah pada zaman permulaan Islam.
Nasihat Khalid bin Walid ini diterima baik oleh pasukan Islam yang dipimpinnya itu, sehingga semangat mereka untuk berjuang menghadapi kegagahan dan kebengisan tentera Rumawi bangkit semula.
Dirar Bin Azur Ditangkap Musuh
Pada saat perang sedang berkecamuk, Khalid bin Walid terlihat sebuah bayangan hitam yang berlalu dengan cepatnya, setelah beliau perhatikan, bayangan itu ialah seorang perajurit yang sedang memacu kudanya, tubuhnya tinggi lampai dan berpakaian serba hitam. Khalid terus memperhatikan gerak perajurit itu.
Tanpa memperdulikan suasana yang terjadi sekitarnya, perajurit berkuda itu terus memacu kudanya, matanya memandang tajam ke hadapan, di pinggangnya terdapat sehelai ikat pinggang yang terikat kukuh, dia memakai serban hijau dan mengenakan baju besi, seluruh tubuhnya terbungkus pakaian. Perajurit yang gagah itu terus menerobos ke barisan musuh, sehingga tindakannya itu membuat pasukan Rumawi menjadi kucar kacir.
“Hai…! Siapa perajurit yang berkuda itu…? Demi Allah…! Dia benar-benar berani…!” ujar Khalid bin Walid penuh kagum.
Tanpa berfikir panjang lagi, Khalid bin Walid memacu kudanya menyusul perajurit yang berani itu, tindakan Khalid ini diikuti oleh beberapa orang perajurit Islam. Mereka segera menuju ke tempat perajurit berkuda itu, dia sedang mengamuk, pedangnya dihayunkannya ke sana ke mari, sehingga barisan demi barisan pasukan Rumawi dapat dilumpuhkannya, sehingga serdadu-serdadu pilihan Rumawi itu menjadi kecut.
Kemudian secepat kilat perajurit berkuda itu mengarahkan serangannya kepada pasukan berkuda musuh yang sudah siap tempur, hujung pedangnya menghunjam ke sana ke mari, serangan nekad yang tiba-tiba itu membuat pasukan berkuda musuh mengundurkan diri, namun tombak yang hujungnya sudah berdarah itu masih singgah di sasarannya.
Pasukan Islam amat cemas melihat kejadian itu, demikian juga Panglima Khalid bin Walid, yang tidak dapat berbuat apa-apa melihat kejadian itu. Rafi’ bin Yamamah mengatakan bahawa orang yang berani itu adalah Khalid bin Walid. Tetapi beliau amat terkejut, apabila dilihatnya Khalid bin Walid sedang mengomandokan pasukan Islam untuk membantu perajurit Islam yang sedang mengamuk itu. Oleh yang demikian, Rafi’ bertanya kepada Khalid tentang siapa perajurit yang gagah berani itu.
“Demi Allah, wahai Rafi’…! Aku sendiri tidak tahu. Namun keberanian dan ketangguhannya di medan pertempuran membuat aku kagum…!” jawab Khalid bin Walid, sambil matanya tetap menuju ke arah perajurit pemberani yang kadang-kadang hilang dalam kerumunan pasukan berkuda, musuh itu.
“Demi Allah…! Dia benar-benar masuk ke tengah-tengah tentera Rumawi tanpa merasa gentar sedikitpun sambil menghayunkan pedangnya ke arah musuh, baik di kanan mahupun di kiri…!” tukas Rafi’.
Perajurit yang tangkas dan berani itu terus memasukkan pedangnya ke sana ke mari, tanpa menoleh ke belakang, ke arah pasukan Islam yang terpaku melihat ketangkasannya.
“Ayo maju…! Bantu pembela agama Allah yang berjuang seorang diri itu…!” perintah Khalid bin Walid.
Kemudian bagaikan terbang, Khalid bin Walid memacu kudanya ke arah pejuang yang seorang diri itu, tindakan Khalid bin Walid ini diikuti oleh pasukan Islam lainnya. Secara serentak mereka menarik tali kekang kudanya, kemudian dengan pedang yang sudah terhunus, masing-masing mereka menuju ke depan menyerbu musuh yang sudah mengepung perajurit berkuda yang tangkas itu sambil memekikkan takbir, Allahu Akbar.
Setelah dia sedar bahawa dirinya dalam bahaya, perajurit berkuda itu segera menghayunkan pedangnya sambil memekikkan Allahu Akbar, maka berguguranlah tentera musuh, dan berjayalah dia kembali ke pasukan Islam dengan pakaian yang sudah bersimbah darah.
“Allahu Akbar…!” pekik Khalid dengan bersemangat.
“Allahu Akbar…!” pekik pasukan Islam secara serentak. Laungan takbir itu bergema ke angkasa lepas. Medan pertempuran itu bergetar kerananya. Lantas mereka menghampiri perajurit berkuda yang pemberani itu.
“Demi Allah…! Yang telah melindungi seorang perajurit Islam yang telah membela agamaNya, yang telah menghancur-leburkan pertahanan musuh. Tolonglah buka penutup muka anda…!” ujar mereka.
Perajurit berkuda yang tangkas dan berani itu tidak mengacuhkan permintan mereka. Dia kembali menyerbu ke tengah-tengah pasukan Rumawi, sehingga beliau hilang dalam kerumunan pasukan tentera Rumawi yang jumlahnya puluhan ribu itu.
Melihat keadaan itu, Khalid bin Walid segera menyusulnya. Setelah dekat dengan perajurit itu, Khalid bin Walid bertanya dengan suara lantang.
“Hai…! Kami kagum melihat keberanianmu, siapakah engkau…? Tanya beliau.
“Khaulah…! Khaulah binti Azur…!” jawabnya pendek.
“Khaulah…? Alangkah beraninya engkau…! Apa yang mendorongmu melakukan semua ini…?” tanya Khalid bin Walid.
“Dirar…! Dirar saudaraku tertangkap. Aku terpaksa tampil untuk membebaskannya. Dia berjuang di jalan Allah…!” jawab Khaulah.
“Alangkah hebatnya engkau, wahai Khaulah…! Engkau telah mewakili kami semua untuk menyerbu. Semoga Allah melepaskan saudaramu itu…!” sambung Khalid.
Khaulah seolah-olah tidak mempedulikan ucapan dan pujian Khalid bin Walid itu. Beliau terus menyerang musuh, satu demi satu korbannya bergelimpangan di bumi Yarmuk. Pasukan Rumawi amat terpesona melihat ketangkasan dan keberanian Khaulah itu, sehingga mereka mengatakan sekiranya pasukan Islam mempunyai beberapa orang pejuang yang berani dan tangkas seperti Khaulah, nescaya mereka tidak akan mampu menghadapinya.
Khaulah masih lagi merobohkan khemah-khemah musuh dan menginjak-injaknya dengan kudanya, sementara pedangnya berdesing ke sana ke mari menjatuhkan korban-korban yang terdiri daripada tentera pilihan bangsa Rumawi. Khaulah tidak akan berhenti bertindak demikian, sebelum dia menemui saudaranya.
Pasukan Rumawi terpaksa berundur jauh, mereka mengaku kalah, mereka tidak sanggup menghadapi tentera Islam yang tangkas, berani dan mahir bermain pedang itu. Bagaimanapun Khaulah tidak berjaya menemui saudara lelakinya itu. Beliau kembali ke pasukan Islam dengan perasaan sedih. Kegagalannya menemui dan membebaskan saudaranya itu membuat Khaulah tidak dapat menahan air matanya. Dia menangis sekuat-kuatnya, sambil meratap penuh sendu dan syahdu.
Saudaraku…!
Wahai putera ibuku…!
Di manakah kiranya engkau berada…?
Di gurun manakah engkau dicampakkan oleh mereka…?
Saudaraku…!
Andainya aku tahu di mana sekarang engkau berada…!
Pasti aku akan mendatangimu…!
Kau biarkan api rindu selalu marak dan membakar dada saudaramu ini…!
Ia terus menyala dan tidak ada harapan akan padam Saudaraku…!
Salamku buatmu…! Hingga kita berjumpa nanti…!
Ah…! Apakah mata ini akan terpejam, apabila saudara tiada…?
Dapatkah ia tertidur apabila mata terluka…?
Apabila diri ini mendengar dia pergi dan dicederakan musuh, menangislah ia dengan sedu-sedan, dan berurai air mata…!
Syair, madah dan ratapan Khaulah itu menusuk hati seluruh tentera Islam yang mendengarnya, tanpa mereka sedari, air mata mereka juga meleleh membasahi pipi masing-masing, mereka turut bersedih dan menangis melihat kedukaan yang menimpa Khaulah, srikandi Islam itu. Khalid bin Walid juga turut berurai air mata kerananya. Beliau turut merasakan kedukaan dan kepedihan hati yang dirasaikan oleh Khaulah ketika itu. Betapa pedihnya hati seorang insan yang kehilangan saudaranya di medan juang, hilangnya bukan kerana gugur syuhadak, tetapi kerana ditawan oleh musuh-musuh Allah.
Akhirnya semua mereka bertekad untuk maju dan mengatur siasat serangan bagi membebaskan Dirar bin Azur yang sedang ditawan oleh pasukan Rumawi. Mereka tidak mahu membiarkan darah, peluh dan air mata Khaulah mengalir dengan sia-sia, mereka hendak menebus semuanya itu dengan membantunya membebaskan saudaranya, Dirar bin Azur.
Dirar Berjaya Dibebaskan
Pada waktu pasukan Muslimum yang berada di bawah pimpinan Khalid bin Walid, Singa Allah itu berkumpul di khemah mereka, setelah berjaya menumpaskan pasukan Rumawi di Yarmuk, tiba-tiba salah seorang daripada mereka melihat bayangan hitam dari jauh.
“Lihat…! Nun… jauh di sana…!” ujarnya sambil menunjuk jauh ke depan.
Semua mereka berpaling dan mengarahkan pandangan mereka ke arah yang ditunjukkan oleh kawannya itu.
“Benar…! Bayangan itu bergerak…!”, ujar salah seorang mereka.
“Boleh jadi…! Boleh jadi itu tentera Rumawi yang datang hendak menyerang kita…!” ujar yang lain pula.
Khalid bin Walid menyuruh semua anggota pasukannya bersiap sedia, untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Mata demi mata dan perhatian seluruh pasukan Islam di khemah itu tertuju kepada bayangan yang semakin lama semakin mendekat itu.
“Benar…! Dia menuju ke mari…! Hati-hati…!” ujar Khalid bin Walid.
Khaulah, srikandi yang gagah dan tangkas itu juga telah menyiapkan senjatanya. Matanya melolot tajam ke arah serombongan manusia yang menghampiri mereka. Di matanya terbayang sorotan dendam dan kemarahan, kerana dia belum berjaya membebaskan saudaranya, Dirar dari tangan orang-orang Rumawi.
“Dilihat dari pakaiannya, mereka ini adalah tentera Rumawi…!” ujar salah seorang tentera Islam yang berdiri sambil menghunus pedangnya.
“Sabar…! Kita lihat dulu gerak-geri mereka…!” ucap Khalid bin Walid. “Sebab dilihat dari cara kedatangan mereka, tidak mungkin mereka bermaksud menyerang kita…!” lanjutnya.
“Kenapa…?” tanya salah seorang daripada mereka.
“Kalau mereka bermaksud untuk menyerang kita, tentu mereka tidak akan datang dengan terang-terangan seperti itu, apalagi jumlah mereka pula hanya sedikit sekali…!” jelas Khalid bin Walid.
Namun begitu, pasukan Islam itu tetap sedia, mata mereka memperhatikan gerak dan langkah pasukan Rumawi yang datang itu. Setelah hampir dengan khemah kaum Muslimin, masing-masing mereka melepaskan senjatanya dan mengangkat tangan.
“Kami datang menemui tuan, Khalid bin Walid untuk meminta perdamaian…!” ujar salah seorang yang dipercayai menjadi komandan rombongan itu.
“Damai…?”
“Ya…! Kami ingin berdamai…!” ulangnya.
Permintaan damai itu diterima oleh Khalid bin Walid setelah beliau berbincang dengan anggota pasukannya. Kemudian Khalid bin Walid bertanya kepada komandan itu.
“Dirar…! Di manakah Dirar bin Azur sekarang…?” tanya beliau.
“Dirar…! Dirar pejuang Islam yang tangkas dan cekap bermain pedang itu telah menewaskan putera Raja Hiraclius dan membunuh beberapa orang tentera Rumawi…!” jawabnya.
“Maksud kami di mana Dirar itu sekarang…?” tukas salah seorang tentera Islam.
“Melihat ketangkasan dan kecekapannya yang amat membahayakan pasukan kami itu, maka kami menghadapinya bersama-sama. Dengan demikian kami berjaya menangkapnya lantas kami bawa dia ke hadapan Kaisar, supaya Kaisar itu dapat berjumpa dan berkenalan dengan Dirar, pembunuh puteranya itu.”
“Jadi sekarang Dirar itu berada di istana Kaisar kamu…?” tanya Khalid bin Walid.
“Dirar telah dikirim ke Homs dengan dikawal oleh seratus perajurit berkuda pilihan…!” jelasnya.
“Bila dia diberangkatkan…?”
“Sekarang dia sedang dalam perjalanan…!” jelas komandan rombangan itu.
Khalid bin Walid amat gembira mendengar keterangan yang cukup jelas dan dapat dipercayai itu. Demikian juga Khaulah, hatinya meronta-ronta mendengar perjelasan itu, terbayang dimatanya betapa keadaan saudaranya Dirar yang sedang dikawal ketat oleh seratus tentera berkuda dalam perjalanan menuju Homs.
Setelah berfikir sejenak untuk mengingat-ingat siapa di antara anggota pasukannya yang mahir dan tahu selok belok jalan ke Homs, maka Khalid bin Walid teringat akan Rafi’ bin Umairah. Beliau adalah salah seorang komandan pasukan yang mahir tentang itu, lantas beliau memanggil Rafi’.
“Wahai Rafi’…! Aku tidak mengetahui orang yang lebih faham dan mahir tentang selok-belok jalan ke Homs daripada engkau. Di samping itu, saya melihat bahawa engkaulah satu-satunya komandan pasukan yang pandai mengatur siasat dan taktik serangan. Oleh yang demikian, aku menugaskan engkau untuk mencegat pasukan Rumawi yang membawa Dirar ke Homs, dan aku percayakan kepada engkau untuk memilih sesiapa yang kamu anggap mampu dan mahir untuk mengiringimu melaksanakan tugas ini, tugas utama kalian ialah membebaskan Dirar…!” ujar Khalid bin Walid.
“Siap…! Tugas segera dilaksanakan…!” balas Rafi’. Kemudian dia memilih seratus orang tentera berkuda yang mahir dan cekap menggunakan senjata.
Khaulah bangkit dan segera menghadap kepada Khalid bin Walid, mohon diberi izin untuk ikut serta dengan rombongan Rafi’ bin Umairah.
“Baiklah…! Engkau boleh turut bersama-sama mereka…!” ujar Khalid.
Khaulah gembira sekali, kemudian dia kembali ke khemahnya untuk mempersiapkan diri bagi menyertai pasukan pilihan itu. Khaulah memakai baju besi dan menyisipkan pedang di pinggangnya. Dia juga tidak lupa membawa tombak kesayangannya.
Setelah pasukan inti pilihan Rafi’ itu siap sedia, maka dengan ucapan Bismillah…!” serta memohon perlindungan dan pertolongan daripada Allah, mereka berangkat dengan mengambil jalan pintas, untuk menghadang pasukan pengiring Dirar itu di tempat tersebut. Tidak berapa lama kemudian sampailah mereka di suatu tempat berhampiran dengan Salimah, salah sebuah desa yang terletak selepas melalui Humah.
Tanpa membuang-buang masa lagi, Rafi’ memerintahkan anggota pasukannya untuk memeriksa kawasan itu dan bertanya kepada masyarakat di situ, apakah rombongan yang membawa Dirar itu belum melewati desa tersebut. Rafi’ amat gembira dan dia yakin, bahawa Dirar akan dapat mereka bebaskan hari itu.
Kemudian Rafi’ mengatur siasat untuk menjebak pasukan Rumawi yang akan melintas di kawasan itu. Tujuan mereka hari itu hanya satu, iaitu membebaskan Dirar.
Dengan tangkas dan penuh perhitungan, Rafi’ mengatur kedudukan pasukannya, sebahagian besar anggota pasukan itu ditugaskannya untuk mengintai di kawasan yang berbukit-bukit.
Tidak berapa lama kemudian, mereka melihat kepulan debu padang pasir berterbangan ke udara.
“Ini mesti bekas kaki kuda…!” fikir Rafi’. Kemudian beliau memerintahkan semua anggota pasukannya untuk berhati-hati dan selalu dalam keadaan siap sedia.
Rafi’ mengomandokan agar pasukan berkuda pilihan yang dipimpinnya itu menyembunyikan diri sambil bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang akan timbul, apabila pasukan berkuda Rumawi yang mengawal Dirar itu melintas di kawasan tersebut.
Dengan amat berhati-hati dan mata tertuju ke arah debu yang berterbangan ke udara itu, sementara di tangan mereka telah siap senjata yang terhunus, senjata-senjata yang sudah siap untuk menewaskan musuh-musuh Allah itu.
Khaulah tidak ketinggalan untuk mempersiapkan diri, di matanya sudah terbayang bagaimana gembiranya hati Dirar apabila dia sudah bebas daripada tahanan askar Rumawi. “Saudaraku…! Aku datang untuk membebaskan engkau…!” bisik Khaulah sambil bersiap dan matanya menyorot tajam ke arah debu jalan yang berterbangan ke angkasa.
Tidak berapa lama kemudian, pasukan berkuda Rumawi itu telah mendekat ke arah mereka. Mereka menyedari bahawa di kawasan itu tentera Islam sedang menunggu mereka, mereka pasti akan disergap di situ. Tetapi mereka tidak ada jalan lain untuk sampai ke Homs, kecuali dengan melalui jalan itu. Oleh yang demikian, pasukan Rumawi itu juga bersiap dengan senjata yang terhunus untuk menghadapi serangan pasukan Islam yang pasti akan terjadi.
Dirar yang sedang mereka kawal juga menyedari hal ini, kerana itu matanya liar memandang ke kiri dan ke kanan. Dia ingin memberi tahu kepada sahabat-sahabatnya yang terdiri daripada pasukan pilihan itu, bahawa dia memang berada di dalam rombongan musuh Allah itu.
Ketika pasukan Rumawi yang membawa Dirar itu hampir saja melintas kawasan Salimah tersebut, Dirar yang pada waktu itu berada di tengah-tengah memekikkan takbir sekuat-kuat suaranya.
“Allahu Akbar…!” pekik Dirar.
Suara takbir yang dipekikkan Dirar itu bergema ke angkasa, memecah keheningan kawasan tersebut. Pekikan takbir yang dikumandangkan oleh Dirar itu disambut dengan serentak oleh pasukan Islam dengan ucapan Allahu Akbar. Sehingga suara takbir itu menggemuruh di lembah sunyi tersebut.
Khaulah…!
Khaulah binti Azur, saudara perempuan Dirar terbang bagaikan anak panah yang terlepas dari busurnya, menyerang pasukan Rumawi yang angkuh dan sombong itu. Gerakan Khaulah ini diikuti oleh perajurit berkuda Islam lainnya. Rafi’ juga turut melompat ke tengah gelanggang dengan kudanya yang tangkas dan senjata yang terhunus.
Serangan serentak yang dilakukan oleh pasukan Islam ini membuat pasukan Rumawi yang mengawal Dirar itu kucar-kacir, sayap perang mereka menjadi patah sama sekali.
Kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh Khaulah, pedang dan tombaknya berdesing ke sana ke mari, memutuskan leher perajurit pilihan Rumawi satu demi satu, sehingga mayat bergelimpangan di gelanggang pertempuran itu, tanah di seluruh kawasan itu bermandikan darah.
Demikianlah berlakunya peperangan yang dahsyat antara pasukan berkuda Islam yang dipimpin oleh Rafi’ bin Umairah dengan pasukan berkuda pilihan Rumawi yang mengawal Dirar yang sedang berjalan menuju Homs, untuk menyerahkan Dirar kepada Kaisar Hiraclius, raja mereka.
Setelah peperangan berlaku lebih kurang satu jam, satu demi satu tentera Rumawi jatuh ke tanah dengan tubuh bermandikan darah, akhirnya seluruh perajurit Rumawi yang tangkas tersebut tewas dalam perjuangan menentang pasukan Islam. Dengan izin Allah, pasukan Islam yang menegakkan kebenaran itu berjaya memperolehi kemenangan.
Menyedari bahawa musuh-musuh Allah itu telah tidak berdaya lagi, pasukan inti yang mengawal saudaranya sudah tewas seluruhnya, maka Khaulah segera mencari saudaranya, Dirar bin Azur. Dia melihat saudaranya itu terikat dan tersandar ke mayat perajurit Rumawi. Secepat kilat Khaulah mendapatkan saudaranya itu, lantas dia membuka ikatannya, kemudian saudaranya yang tercinta itu dibebaskannya.
Dirar gembira sekali, apalagi setelah dilihatnya bahawa yang membebaskannya itu adalah Khaulah binti Azur, adiknya sendiri.
Setelah mengumpul segala barang rampasan yang mereka perolehi dalam peperangan itu, maka pasukan Islam tersebut kembali ke markas besarnya, dan melaporkan semua kejayaannya kepada Khalid bin Walid, terutama kejayaan mereka membebaskan Dirar bin Azur.
Khalid bin Walid amat gembira mendengar kejayaan itu, dengan air mata berlinangan di matanya yang tajam itu, beliau menadahkan tangan ke hadrat Ilahi, berterima kasih dan bersyukur atas kurnia dan bantuan-Nya yang telah memberi kemenangan kepada pasukan Islam.
Kemudian mereka berkumpul semula di khemah masing-masing, dan sentiasa bersiap sedia, untuk menghadapi segala kemungkinan yang mungkin terjadi akibat kekalahan pasukan Rumawi di Salimah beberapa hari yang lalu.
Khaulah Membakar Semangat Para Pejuang Wanita
Walaupun saudaranya, Dirar bin Azur telah bebas dan turut semula berjuang bersama mereka, namun Khaulah tidak berhenti hingga di situ sahaja. Dia tidak meletakkan senjata dan melambatkan kudanya kemudian membiarkan kuda perajurit-perajurit Islam yang lainnya berjuang membela agama Allah.
Tetapi srikandi yang amat lincah dan berani ini tetap mengenakan baju besinya, mengendarai kuda dan menghunus pedangnya untuk menumpaskan musuh-musuh Allah, bagi mempertahankan kebenaran Islam yang agung.
Demikian lah Khaulah, dia sentiasa mengikuti peperangan antara pasukan Islam dengan tentera Rumawi, dan bersamanya juga turut serta beberapa orang wanita pejuang Islam yang lincah dan berani.
Khaulah dan teman-temannya turut serta dalam berbagai-bagai peperangan menentang pasukan Rumawi, hinggalah peperangan yang berlaku di Sahura, salah sebuah kawasan di Siria. Dalam peperangan yang sengit ini, Khaulah tetap mengayunkan pedangnya menewaskan musuh satu demi satu, dan kudanya dengan lincah melompat ke sana ke mari, demikian juga teman-temannya yang menyertainya.
Malangnya, strategi peperangan ketika itu tidak menguntungkan pasukan Islam, maka Khaulah dan teman-temannya yang terdiri daripada perajurit-perajurit wanita tertangkap oleh pasukan Rumawi, mereka dipenjarakan di suatu kawasan yang sama sekali tidak mereka ketahui, manakala senjata mereka dirampas oleh pasukan musuh. Sementara di luar tahanan itu dijaga oleh pengawal Rumawi yang bengis dan garang, sehingga Khaulah dan teman-temannya tidak berjaya untuk melepaskan diri mereka.
Mereka terpaksa merengkuk dalam tahanan itu, tanpa sebarang senjata, kecuali iman dan keberanian yang sentiasa menemani mereka dengan setianya walau di mana jua pun mereka berada.
Dalam tahanan itu Khaulah melihat teman-temannya seolah-olah sudah hampir putus asa. Oleh yang demikian Khaulah berusaha untuk membangkitkan semula semangat mereka, sehingga mereka kembali yakin akan kebenaran yang sudah hampir memudar di dalam hati mereka. Khaulah lantas berdiri dan berpidato.
“Apakah saudara-saudara bersedia menjadi tukang urut bagi orang-orang Rumawi, musuh Allah itu…? Relakah saudara-saudara, keturunan saudara-saudara kelak menjadi hamba dan suruhan bangsa Rumawi, sehingga dengan sesuka hatinya mereka dapat memaksa dan mencaci maki saudara-saudara…? Tambah Khaulah.
Wanita-wanita pejuang yang tertawan bersama Khaulah itu termenung mendengar ucapannya yang penuh semangat tersebut.
“Saudara-saudara…! Di manakah letak harga diri saudara-saudara sebagai puteri Semenanjung Arabia…? Di manakah letaknya keberanian saudara yang berapi-api sebelum ini…? Relakah saudara-saudara jika kelak anak cucu saudara menjadi hamba abdi atau orang suruhan bangsa Rumawi musuh Allah ini…? Dan… yang lebih utama, di manakah letaknya kehormatan atau maruah saudara-saudara selaku wanita Muslimah…? Apakah keberanian saudara-saudara itu kini sudah lumpuh dan luntur sama sekali…?
Pidato Khaulah ini berjaya menaikkan semangat dan menimbulkan keyakinan diri bagi teman-temannya yang tertawan itu. Mereka mengangkat wajahnya masing-masing dan memandang kepada Khaulah seolah-olah mengajaknya bengkit ketika itu juga untuk mengoyak dinding khemah tempat mereka ditawan itu dan membunuh pengawal-pengawal yang menjaga mereka di luar kem tahanan itu.
“Saudara-saudara…! Sambung Khaulah tanpa memperhatikan semangat teman-temannya yang sudah mula bangkit itu. “Mati adalah lebih baik bagi kita semua, daripada kita hidup menjadi hamba dan suruhan orang-orang Rumawi…! Lanjutnya dengan tegas sambil menggenggam tangannya.
Ucapan Khaulah yang berapi-api itu Berjaya membangkitkan semangat dan rasa harga diri bagi teman-temannya. Salah seorang di antara mereka, iaitu Irfa’ binti Ghaffar al-Hamiriyah bangkit dan berkata :
“Engkau benar, wahai Khaulah…! Demi Allah..! Sebagaimana yang engkau ketahui, kami adalah wanita-wanita yang berani dan masih mempunyai harga diri…!” ujarnya.
Teman-temannya yang lain memandangnya.
“Dalam keadaan seperti yang kita alami sekarang ini, saya berpendapat, hanya pedanglah yang dapat menyelesaikannya…!” tambahnya dengan bersemangat.
“Bagaiman caranya, wahai Irfa’…!” Tanya salah seorang daripada mereka.
“Kita mesti menyerang secara tiba-tiba, ketika musuh dalam keadaan lengah. Tapi…!” Irfa’ tertunduk, mukanya merah dan butir-butir air mata kelihatan menyebak di pinggir matanya yang tajam itu.
“Tapi, bagaimana, wahai Irfa’…?” Tanya Khaulah.
“Tapi keadaan kita sekarang ini tak ubahnya bagaikan singa yang tidak bertaring, atau kambing yang tidak bertanduk…!” ujarnya.
Ucapan Irfa’ ini menyedarkan mereka terhadap keadaan yang sedang mereka alami ketika itu. Semua wanita-wanita dalam tahanan itu memandang Khaulah, seolah-olah meminta pendapat atau jalan keluar yang mesti mereka tempuh. Dari pandangan mata mereka, terlihat tanda-tanda bahawa semua mereka lebih cenderung untuk memilih mati di dalam perjuangan melawan musuh-musuh Islam itu, daripada mereka kealk menjadi tukang urut atau hamba sahaya bangsa Rumawi tersebut.
Bagaimanapun, mereka menghadapi jalan buntu. Mereka tidak memiliki senjata untuk perang, pedang dan lembing mereka semuanya dirampas oleh tentera Rumawi dan mereka kini berada di dalam tahanan.
Kini yang masih tinggal pada diri masing-masing mereka ialah keberanian, harga diri, keteguhan dan ketetapan hati untuk tetap berjuang menegakkan syiar Islam. Sifat-sifat mulia masih subur dalam jiwa mereka, ia tidak akan pudar walau dipujuk dengan apa jua pun. Tekad mereka pada waktu itu hanya salah satu daripada dua, mati atau bebas.
Khaulah yang bertindak sebagai ketua ketika itu menyedari akan tekad dan kekukuhan semangat teman-temannya tersebut. Beliau termenung seketika, memikirkan jalan keluar daripada masalah yang sedang mereka hadapi.
Semua teman-temannya memperhatikan tingkah Khaulah dengan bersungguh-sungguh, seolah-olah mereka sedang menunggu perintah yang akan dikeluarkan oleh Khaulah.
“Wahai saudara-saudaraku, anak cucu Tubba’…!” ujar Khaulah sambil mengangkat wajahnya menatap wajah sahabat-sahabatnya itu seorang demi seorang. “Ambillah tiang-tiang dan tali-tali khemah ini…!” perintahnya.
“Tiang dan tali…? Untuk apa ini wahai Khaulah…?” Tanya salah seorang daripada mereka.
“Ya…! Tiang dan tali khemah ini…! Dengan kedua-dua alat itu kita hadapi musuh-musuh Allah yang mengawal kita di luar sana…! Mari kita tanamkan tekad untuk mati atau bebas dari sini. Percayalah wahai sahabat-sahabatku…! Allah akan sentiasa memberi pertolongan kepada orang-orang yang menolong-Nya. Wahai anak cucu Tubba’…! Marilah kita membebaskan diri daripada kehinaan ini, sebelum mereka sempat menyentuh kita. Mari kita bersumpah wahai sahabat-sahabatku…! Bersumpah untuk berjumpa lagi dan menyerahkan diri kita dengan pasrah kepada Allah Yang Maha Penyayang…!” ujar Khaulah.
“Demi Allah…! Buah fikiranmu itu bagus sekali, Khaulah…! Kita memang tidak rela hidup diperhamba dan dihina, apalagi kalau disentuh oleh musuh-musuh Allah itu. Bagi kita lebih baik mati daripada hidup menanggung malu dan kehinaan sepanjang masa…!” tukas Irfa’.
Kini…!
Tekad para tawanan wanita yang pantas disebut srikandi itu sudah bulat, pendirian mereka sudah kukuh. Bahkan mereka telah menetapkan hari yang mereka anggap sesuai untuk melaksanakan rencara mereka untuk bertindak itu.
Pada hari yang sudah ditetapkan, mereka sibuk membuka khemah tempat mereka ditahan itu, kemudian menyimpulkan tiang-tiang dan tali-talinya. Setelah semuanya selesai, tanpa berfikir panjang lagi, Khaulah yang bertindak sebagai komandan sudah siap menyandang sepotong kayu, kemudian dia berkata dengan tegas.
“Saudara-saudara…! Janganlah sekali-kali saudara-saudara merasa gentar dan takut. Kita mesti bersatu padu, jangan ada diantara kita yang berkhianat, yang dapat menghancurkan rancangan ini…!” ujarnya.
“Demi Allah, wahai binti Azur…! Kami akan tetap dalam pendirian kami…!” ujar mereka serentak.
“Bagus…! Tugas kita sekarang ialah mematahkan tombak-tombak musuh dan menghancurkan pedang-pedang mereka dengan tiang-tiang mereka ini…! Jangan lupa membaca Takbir, kuatkan hati saudara-saudara semua…!” tambah Khaulah.
Setelah memberi semangat itu, Khaulah segera mengikatkan bajunya ke badannya. Tindakannya ini diikuti oleh Irfa’ binti Ghaffar, Ummi binti ‘Utbah, Salmah binti Zari’, Ran’ah binti Amalun, Salmah binti Nu’man dan semua wanita lain yang berada dalam tawanan Rumawi itu. Kemudian masing-masing mereka menyandang tiang khemah itu satu seorang, tekad mereka sudah kuat dan kukuh, keyakinan mereka sudah mantap untuk mati atau bebas.
Mereka bergerak ke luar khemah sambil mata masing-masing liar ke kiri dan ke kanan. Khaulah mendahului teman-temannya dengan memukul seorang pengawal dengan tiang khemah yang dibawanya. Pukulan itu tepat mengenai sasarannya, sehingga pengawal yang sedang lalai itu gugur ketika itu juga.
Gerakan Khaulah ini kemudian diikuti oleh teman-temannya dengan menghayunkan tiang-tiang khemah itu ke kiri dan ke kanan, sehingga serdadu-serdadu Rumawi yang menjaga khemah itu kucar-kacir dan gugur satu demi satu.
Serangan yang dilakukan oleh srikandi-srikandi secara mendadak itu membuat tentera-tentera Rumawi yang berada di sekitar khemah itu ketakutan. Kesempatan ini digunakan oleh Khaulah dan kawan-kawannya untuk merampas sebarang senjata yang dimiliki oleh pasukan pengawal itu, sama ada tombak, pedang atau lain-lainnya, manakala tiang-tiang yang mereka pegang itu mereka gunakan untuk melindungi diri mereka dari serangan musuh. Bahkan pedang atau tombak-tombak musuh Allah itu patah dan berkeping apabila terbentur ke tiang-tiang tersebut.
Serangan mendadak yang dilakukan oleh Khaulah dan kawan-kawannya ini membuat pasukan Rumawi kehilangan akal, akhirnya mereka menjadi kucar-kacir. Dengan demikian Khaulah dan kawan-kawannya berjaya melepaskan diri dari tawanan tentera Rumawi dan kembali ke pasukan Islam untuk kembali berjuang dan berperang di jalan Allah. Pengalaman mereka selama dalam tawanan pasukan Rumawi itu mereka jadikan pelajaran untuk lebih berhati-hati pada masa yang akan datang. Agar mereka tidak lagi terperangkap oleh musuh-musuh Allah sebagaimana peristiwa pahit yang pernah mereka alami itu.Kehadiran mereka semula bersama dengan pasukan Islam, amat menggembirakan Khalid bin Walid. Beliau memuji kecerdikan dan keberanian Khaulah binti Azur serta teman-temannya, yang telah berjaya dan lepas daripada tawanan tentera Rumawi yang terkenal ketat itu.Khaulah WafatPengalamannya yang telah pernah menjadi tawanan tentera Rumawi tidak membuat Khaulah patah semangat untuk berjuang di jalan Allah. Demikian juga kawan-kawannya yang lain.Oleh yang demikian, Khaulah dan teman-temannya selalu turut serta dalam sebarang perjuangan menentang keganasan bangsa Rumawi yang beragama Kristian itu yang berniat hendak mengabiskan Islam dan menghancurkan umatnya di permukaan bumi Allah ini.Dalam perjuangan demi perjuangan itu, kemenangan selalu berpihak kepada pasukan Islam.Keberanian dan ketangkasan khaulah dalam medan pertempuran menjadi buah mulut orang ramai ketika itu. Baik kawan mahupun lawan. Kelincahan beliau di medan pertempuran telah berjaya menghiasi halaman sejarah yang menggolongkan beliau setaraf dengan pahlawan-pahlawan agung Islam lainnya. Bahkan ahli sejarah yang menyamakan taraf Khaulah dengan Khalid bin Walid, pedang Allah.Bahkan ada yang mengatakan, sekiranya Khalid bin Walid itu adalah pedang Allah daripada kaum lelaki, maka Khaulah binti Azur adalah pedang Allah daripada kalangan wanita.Khaulah adalah seorang wanita yang paling berani. Sejarah belum pernah menemukan seorang wanita yang sanggup dengan beraninya untuk tampil di medan pertempuran hingga memporak-perandakan musuh, kecuali Khaulah binti Azur, yang keberaniaanya berjaya merobohkan pertahanan dan mengucar-kacirkan pasukan tentera Rumawi yang terkenal berani dan amat lincah di medan pertempuran itu.Di medan juang, Khaulah selalu berdampingan dengan pendekar perang, pahlawan agung yang keberaninannya diakui dunia, iaitu Khalid bin Walid.Demikianlah riawayat perjuangan, kegagahan, keberanian dan ketangkasan Khaulah binti Azur, seorang wanita Islam daripada kalangan bangsa Arab, Keberaniannya yang amat patut diteladani oleh wanita-wanita zaman kini, dalam mempertahankan maruah dan keyakinannya.Khaulah adalah lambang keagungan wanita Muslimah yang tidak mudah menyerah kalah dalam sebarang masalah, yang tidak mudah angkat tangan dalam sebarang perjuangan. Keyakinannya kukuh, keimanannya kuat, tekadnya bulat untuk menghadapi salah satu di antara dua kemungkinan, "mati" atau "menang", "membunuh" atau "terbunuh". Istilah "kalah" atau "menang" tidak bertemu dalam kamus kehidupan Khaulah. Namun begitu,sifat-sifat kewanitaan seperti lemah lembut dan penyayang tidak pula luput daripada dirinya.Sisa-sisa hidupnya dijalaninya dengan melaksanakan ibadah kepada Allah, di samping sentiasa memberi semangat kepada para pejuang Islam, hinggalah sampai kepada masa pemerintahan Usman bin Affan.Khaulah binti Azur, srikandi Muslimah ini wafat pada akhir pemerintahan Usman bin Affan."Ya Allah...! Curahkanlah kiranya rahmat-Mu kepada wanita teladan ini...! Dan kepada pejuang-pejuang yang gugur kerana mengharapkan reda-Mu...!""Tempatkanlah dia di tempat yang sesuai dengan jasa dan perjuangan-Nya yang telah tampil untuk membela dan mempertahankan kebenaran yang Engkau turunkan kepada rasul-Mu Muhammad (s.a.w.)!"Limpahkanlah kiranya sifat pemberani, lincah, cerdik dan kelembut-lembutannya itu kepada wanita-wanita Islam masa kini, agar mereka juga tidak gentar untuk tampil membela kebenaran yang Engkau kehendaki...!
ALHAMDULILLAHPenulis : AKMAL HAJI MHD. ZAINTajuk buku : KHAULAH BT. AZUR SRIKANDI PERANG YARMUKTahun Cetakan : 1990Penerbit : PUSTAKA AL-MIZANDicetak oleh : SYARIKAT PREMABilangan muka surat : 30
Comments
Post a Comment