SALMAN AL-FARISI MEMELUK AGAMA ISLAM

 BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Salman Mencari Kebenaran




Pada zaman Rasullullah (saw) ada seorang pemuda yang memeluk agama Islam. Pemuda itu berasal dari Parsi. Namanya ialah Salman, tetapi dia lebih dikenali dengan nama Salman Al-Farisi. Sebelum memeluk agama Islam, Salman telah menganut berbagai agama, seperti agama Majusi dan agama Nasrani.

Menurut keterangan Ibnu Ishak – guru Ibnu Hisyam, seorang ahli sejarah terkenal – Salman adalah berbangsa Parsi. Dia dilahirkan di sebuah kampung bernama Jaiyyu yang terletak dalam kawasan negeri Isbihan.

Ayahnya adalah seorang ketua kampung yang kaya-raya. Salman amat disayangi oleh ayahnya, melebihi kasih sayangnya kepada yang lain. Kasih sayang ayahnya kepadanya, menyebabkan Salman tidak dibenarkannya pergi ke mana-mana agar dia selalu dapat berjumpa dengan anak kesayangannya itu.

Sebagai seorang pemuda yang dilahirkan di kalangan masyarakat yang beragama Majusi, iaitu agama penyembah api, Salman amat taat menjalankan perintah agamanya. Ketaatan Salman kepada agamanya itu menyebabkan dia bersedia menjadi penjaga api yang yang dianggap Tuhan oleh orang-orang Majusi itu, agar api-api sembahan mereka itu tidak padam.

Ayah Salman mempunyai  sebidang kebun yang luas dan banyak pula hasilnya. Di samping itu, dia juga mempunyai beberapa buah rumah sewa. Pada suatu hari, ayah Salman amat sibuk menguruskan salah sebuah rumahnya. Oleh itu dia memanggil Salman dan berkata kepadanya:

“Anakku, Salman…! Hari ini ayah sibuk mengurus rumah kita. Ayah tidak dapat pergi ke kebun. Ayah harap agar engkau saja pergi ke kebun sekadar melihat-lihat orang bekerja di sana!” katanya.

Sebagai anak yang patuh, Salman tidak membantah kehendak ayahnya itu. Dia mengangguk tanda setuju.

“Tapi, janganlah engkau lama-lama di kebun itu!” kata ayahnya lagi. “Kerana engkau lebih penting bagi ayah daripada kebun itu dan bila engkau lambat balik, ayah tidak dapat mengerjakan pekerjaan-pekerjaan ayah dengan tenang kerana selalu memikirkan engkau!”

Tanpa banyak soal dan helah lagi, pergilah Salman ke kebun sebagaimana yang disuruh oleh ayahnya itu. Dalam perjalanan ke kebun itu, Salman lalu di hadapan sebuah gereja Nasrani. Ketika itu, dia mendengar suara orang ramai sedang menyanyi dan sembahyang di dalamnya. Salman tidak tahu apa yang mereka lakukan kerana dia tidak dibenarkan pergi ke mana-mana oleh ayahnya.

Salman amat tertarik oleh suara nyanyian orang ramai yang mendengung dari dalam gereja itu, sehingga beliau singgah dan melihat apa yang sedang mereka lakukan di dalamnya. Setelah beberapa lama, Salman tegak memperhatikan cara peribadatan dan mendengar nyanyian mereka, dia berasa tertarik kepada cara peribadatan dan nyanyian umat Nasrani itu. “Demi Tuhan, ini adalah lebih baik daripada agama kami, saya tidak akan pergi dari sini sehingga matahari terbenam,” fikirnya.

Lama juga Salman tegak di situ, sehingga beliau tidak jadi pergi ke kebun ayahnya. Sementara itu, hatinya semakin tertarik kepada agama dan cara sembahyang umat Nasrani yang sedang disaksikannya itu. Kerananya, Salman masuk ke dalam gereja itu dan bertanya:

“Dari mana asal agama ini?” tanyanya.

“Dari negeri Syam!” jawab mereka.

Setelah mendapat penjelasan begitu, Salman terus pulang ke rumahnya untuk memberitahukan apa yang dilihatnya itu kepada ayahnya. Sebaik sahaja Salman sampai di rumahnya, ayahnya bertanya:

“Salman, anakku! Ke mana saja engkau pergi satu hari ini? Bukankah tadi engkau telah berjanji kepada ayah untuk cepat kembali?”

“Ayahanda! Tadi, saya melihat orang-orang penganut agama Nasrani sedang mengerjakan sembahyang dan menyanyi di dalam gerejanya. Amatlah tertariknya hati saya kepada agama mereka. Demi Tuhan, ayah, saya tidak meninggalkan mereka itu sehinggalah matahari terbenam!” jawab Salman.

“Tidak baik, anakku! Agama mereka itu tidak baik sama sekali, lebih baik agama engkau dan nenek moyangmu daripada agama mereka!” jelas ayahnya.

“Ah… tidak, ayah! Agama itu lebih baik daripada agama kita,” ujar Salman.

Mendengar jawapan Salman itu, bukan main marah ayahnya kepadanya. Semenjak hari itu, Salman tidak lagi dibenarkan pergi kemana-mana. Kaki Salman diikatnya dan Salman dikurungkannya di dalam rumah.

Sungguhpun demikian, minat Salman kepada agama Nasrani tidak juga mundur. Dia terus berazam untuk mengetahui agama itu dengan lebih lanjut. Untuk itu, Salman mengutuskan seseorang pergi berjumpa dengan orang-orang Nasrani di gereja itu untuk menyampaikan pesanannya. Pesannya itu ialah apabila datang kafilah dari Syam, Salman mengharapkan agar orang Nasrani itu memberitahukan kepadanya.

Tidak berapa lama kemudian, datanglah beberapa saudagar dari negeri Syam. Kemudian kafilah ini segera diberitahukan oleh orang-orang Nasrani itu kepada Salman. Dia amat gembira mendengar kedatangan kafilah itu.

Dengan bantuan seseorang, Salman terlepas dari ikatannya dan beliau pergi bersama orang-orang Syam itu ke negeri mereka. Sesampainya ke negeri  Syam, Salman bertanya kepada penduduk di situ:

“Siapakah orang yang paling utama pengetahuannya dalam agama ini”

“Bishop dalam gereja ini!” jawab salah seorang daripada mereka.

Setelah mendapat penjelasan yang diperlukannya, Salman segera pergi menemui Bishop dalam gereja itu dan berkata:

“Tuan saya amat tertarik kepada agama ini, saya juga suka sekali untuk selalu berada bersama tuan untuk berkhidmat kepada tuan dan gereja tuan ini agar saya dapat belajar agama ini kepada tuan dan sembahyang bersama dengan tuan!”

“Baiklah!” katanya singkat.

Setelah beberapa hari duduk bersama Bishop dalam gereja itu, Salman dapat mengetahui perangai jahat Bishopnya. Bishop itu amat suka menyuruh dan menasihat orang ramai bersedekah. Apabila telah terkumpul harta sedekah itu, disimpannya untuk keperluan dirinya sendiri. Sedikit pun dia tidak mengingati nasib orang-orang miskin yang amat memerlukan harta itu. Lama kelamaan terkumpullah sebanyak tujuh tong emas dan perak dalam simpanan Bishop itu.

“Saya amat benci sekali kepadanya kerana sifatnya yang jahat itu,” kata Salman.

Tidak beberapa lama selepas itu, maka Bishop itu pun meninggal. Mendengar berita kematian Bishop itu, berdatanganlah orang ramai untuk menguruskan mayatnya. Ketika itu berkatalah Salman kepada mereka:

“Saudara-saudara, ini adalah manusia busuk dan manusia paling jahat. Dianjurkannya kamu bersedekah dan diberinya kamu khabar gembira agar hati kamu tertarik untuk bersedekah. Setelah harta sedekah itu terkumpul, harta itu disimpannya untuk dirinya sendiri, tidak sedikitpun diberikannya kepada orang-orang miskin yang memerlukan bantuan!”

“Dari mana engkau tahu” tanya mereka.

“Saya boleh tunjukkan buktinya!” ujar Salman.

Salman membawa mereka masuk ke dalam gereja itu, kemudian ditunjukkannya tempat simpanan barang-barang itu kepada mereka. Maka orang ramai mengeluarkan tujuh tong emas dan perak dari simpanan Bishop itu. Setelah dakwaan Salman itu terbukti kebenarannya, maka mereka berkata serentak:

“Demi Allah, kami tidak akan menguruskan mayatnya!” ucap mereka.

“Jadi, apa hendak kamu lakukan ke atas mayat ini? Tanya Salman.

“Akan kami salibkan!” ujar mereka.

Orang ramai pun mendirikan tiang salib. Lantas, mereka salibkanlah mayat Bishop itu, kemudian mereka lempari dengan batu beramai-ramai.

Kemudian, mereka mendatangkan seorang lelaki sebagai ganti Bishop yang telah mati itu. Bishop yang baru ini tidak sama jahatnya dengan Bishop yang sebelumnya.

“Demi Allah, tiadalah saya lihat selain dia orang yang sembahyang seperti dia sembahyang, tiadalah saya lihat orang yang lebih memelihara diri dari kejahatan selain dia, tiadalah saya lihat orang yang lebih mencintai akhirat selain dia, dan tiada pulalah saya lihat orang yang amat rajin bekerja selain dia. Kerana itu, saya amat mencintai dia. Tidak pernah saya mencintai orang lain seperti saya mencintai dirinya. Maka oleh yang demikian, tinggallah saya bersamanya dan belajar kepadanya,” ujar Salman.

Ketika Bishop yang baru itu hampir meninggal dunia, amatlah cemasnya Salman. Sebab menurut Salman, tiada lagi orang lain sebaik Bishop itu. Kerana itu bertanyalah Salman kepada Bishop itu:

“Tuan…! Saya telah tinggal bersama-sama dengan tuan, saya mencintai tuan, saya cintai tuan dengan cinta yang belum pernah saya mencintai orang lain seperti itu. Sekarang tuan telah didatangi perintah Allah seperti yang tuan lihat sendiri. Kalau nanti perintah Allah untuk memanggil tuan itu berlaku, kepada siapakah saya ini akan tuan wasiatkan? Apakah perintah tuan kepada saya?” ratap Salman.

“Anakku!” kata Bishop itu,” demi Allah, saya tidak mengetahui orang yang berkelakuan seperti saya ini sekarang. Manusia telah menukar-nukar ajaran agamanya, manusia juga sudah meninggalkan apa yang diperintahkan Tuhan kepada  mereka, kecuali seorang lelaki yang kini menetap di negeri Mausil. Hanya dialah yang berkelakuan seperti saya. Pergilah engkau dapatkan lelaki itu di kediamannya!” nasihat Bishop itu kepada Salman.

Setelah Bishop itu meninggal, berangkatlah Salman ke Mausil di negeri Iraq sebagaimana yang dinasihatkan oleh Bishop tempatnya berguru di negeri Syam itu. Setelah sampai di Mausil, Salman menjumpai Bishop sebagaimana yang disebutkan oleh Bishop negeri Syam kepadanya.

“Tuan! Tuan Bishop di negeri Syam mewasiatkan kepada saya ketika ajalnya sudah hampir tiba, supaya saya mendapatkan tuan di sini. Dia mengatakan, bahawa keadaan tuan adalah sama dengan keadaan dirinya,” jelas Salman kepada Bishop itu.

Kedatangan Salman diterima oleh Bishop di Mausil itu dengan baik, bahkan Salman disuruhnya pula tinggal bersamanya. Bishop itu adalah orang yang mulia hatinya. Sedikit pun dia tidak mahu menyalahi wasiat sahabatnya. Namun amat malang bagi Salman, belum berapa lama beliau tinggal di situ, Bishop itu pun ditimpa sakit tenat.

“Tuan! Tuan Bishop di negeri Syam dahulu berwasiat kepada saya agar saya mendapatkan tuan di sini. Sekarang, perintah Tuhan pula telah menghampiri diri tuan sebagaimana tuan lihat sendiri. Kalau perintah Tuhan itu terlaksana sehingga tuan tiada lagi bersama kami di dunia ini, kepada siapakah saya ini akan tuan wasiatkan?” kata Salman bersungguh-sungguh.

“Anakku…! Demi Allah, tiadalah saya ketahui seorang lelaki pun berkeadaan seperti kita, melainkan seorang lelaki yang kini tinggal di Nasibina. Pergilah engkau dapatkan dia di sana!” ujar Bishop itu.

Setelah Bishop itu meninggal dunia, Salman pun pergilah ke Nasibina sebagaimana yang diwasiatkannya. Di Nasibina, Salman mencari lelaki yang dikatakan oleh Bishop itu kepadanya. Setelah lelaki yang dikatakan itu berjumpa, Salman pun menceritakan hal keadaan dirinya kepada lelaki itu. Rupanya lelaki itu juga adalah seorang Bishop di negeri itu. Kedatangan Salman diterimanya dengan senang hati dan menyuruh Salman tinggal bersamanya.

Keadaan dan sifat Bishop yang di Nasibina itu serupa betul dengan Bishop yang di negeri Syam dan Bishop yang di negeri Mausil tempat Salman belajar dan menetap sebelumnya.

Bagaimanapun, Salman juga tidak dapat tinggal lama bersama Bishop yang di Nasibina itu kerana beliau pun telah dipanggil Tuhan pula untuk kembali kepadaNya. Sebelum beliau meninggal dunia, Salman bertanya kepadanya sebagaimana dia bertanya kepada Bishop-Bishop yang dahulu:

“Tuan, Tuan Bishop yang di Syam dahulu mewasiatkan saya agar pergi dan tinggal bersama Bishop di negeri Mausil. Tuan Bishop yang di Mausil pula mewasiatkan saya agar pergi dan tinggal bersama tuan di sini. Sekarang, panggilan Tuhan pula sudah hampir datang kepada tuan. Sekiranya tuan meninggal nanti,  kepada siapa pulakah saya akan tuan wasiatkan?” tanya Salman.

“Demi Allah, anakku!” ujar Bishop itu. “Saya tidak tahu apakah masih ada lagi orang yang seperti kita ini untuk ku wasiatkan engkau pergi kepadanya, selain daripada seorang Bishop yang kini tinggal di Ammuriyah di Tanah Rom. Kalau engkau suka, bolehlah engkau pergi kepadanya, kerana hanya dialah yang berkeadaan seperti kita!” ujar Bishop itu.

Bishop di Nasibina itu pun meninggal dunia. Salman kemudian pergi ke Rom untuk mendapatkan Bishop yang dikata oleh Bishop Nasibina tadi. Setelah beberapa hari mencari, akhirnya bertemulah Salman dengan orang yang dikatakan oleh Bishop Nasibina itu.

“Tuan saya datang ke mari menemui tuan kerana saya memenuhi wasiat tuan Bishop di Nasibina. Kata beliau, tuan adalah sama dengan dirinya!” ujar Salman.

Bishop itu pula menerima kedatangan Salman dengan senang hati serta menyuruh Salman tinggal bersamanya. Di samping berkhidmat dan berguru kepada Bishop itu, Salman juga menguruskan ternak kambing dan lembu. Banyak juga kambing dan lembu Salman selama beliau berada di Rom.

Tidak berapa lama kemudian, Bishop yang di Ammuriyah ini pun telah hampir kepada kematiannya. Melihat keadaannya yang sudah tidak ada harapan lagi itu. Salman berkata kepadanya sebagaimana yang pernah dikatakannya kepada Bishop-Bishop tempat beliau berkhidmat dan berguru sebelumnya.

“Demi Allah, anakku! Tidak ada lagi saya ketahui sekarang seorang manusia pun yang berkeadaan seperti kita ini untuk saya wasiatkan engkau kepadanya. Tetapi, tidak berapa lama lagi akan muncul seorang Nabi dengan agama Nabi Ibrahim di tanah Arab. Padanya ada tanda-tanda yang nyata. Nabi itu tidak mahu menerima zakat atau sedekah, tetapi mahu menerima pemberian. Di antara kedua-dua belikatnya ada cap kenabian. Kalau engkau sanggup pergi ke negeri itu, pergilah ke sana!” nasihat Bishop itu.


Salman Al-Farisi Memeluk Agama Islam

Walaupun Bishop tempat Salman belajar di negeri Rom itu telah meninggal dunia, tetapi Salman belum lagi pergi ke tanah Arab sebagaimana yang diwasiatkan oleh Bishop itu. Kini Salman menumpukan tugasnya menggembalakan ternak peliharaannya yang kini telah mula berkembang biak.

Pada suatu hari, sewaktu Salman menggembalakan ternaknya, lalulah serombongan kafilah atau saudagar dari Bani Kalb. Salman meminta mereka itu agar bersedia membawanya ke Tanah Arab. Kalau mereka mahu, Salman bersedia menyerahkan haiwan ternakannya kepada mereka.

Rombongan saudagar Bani Kalb itu bersedia untuk membawa Salman ke Tanah Arab. Setelah Salman menyerahkan haiwan ternakannya kepada mereka, maka berangkatlah Salman bersama-sama saudagar itu ke Tanah Arab.

Setelah mereka sampai di suatu tempat yang bernama Wadil Kubra, saudagar-saudagar Bani Kalb itu menganiaya Salman. Mereka menjual Salman untuk menjadi hamba kepada seorang Yahudi di situ. Kerana itu, terpaksalah Salman tinggal bersama tuannya di tempat itu. Sewaktu Salman melakukan kerja-kerja yang diperintahkan oleh tuannya, beliau ternampak pohon-pohon kurma itu, Salman teringat akan pesan Bishop di negeri Rom, yang mengatakan bahawa salah satu tanda tempat hijrah Nabi itu ialah adanya pokok-pokok kurma di negeri itu. Namun Salman masih juga ragu-ragu dalam hatinya.

Pada suatu hari, datanglah seorang anak saudara tuannya, seorang Yahudi Bani Khuraizah yang tinggal di Madinah. Salman pun dijual oleh tuannya kepada anak saudaranya itu. Kemudian Salman dibawanya ke Madinah. Setelah sampai di Madinah, Salman yakin bahawa itulah negeri yang dikatakan oleh Bishop di Rom dahulu. Maka tinggallah Salman di negeri baru itu bersama dengan tuannya, beliau kini hidup sebagai hamba abdi.

Pada masa itulah Rasulullah dibangkitkan oleh Allah s.w.t. Namun, selama Rasulullah berada di Makkah, Salman tidak banyak tahu tentang perkembangan dakwahnya kerana beliau sibuk dengan urusan pekerjaannya, apalagi beliau kini adalah seorang hamba abdi.

Kemudian Rasulullah berhirah ke Madinah, Salman bercerita : “Demi Allah, sewaktu saya sedang berada di atas pokok kurma tuan saya, dan tuan saya sedang duduk di bawahnya, datanglah seorang anak saudara tuan saya dengan tergesa-gesa mendapatkan bapa saudaranya, lalu berkata : Dibinasakan Allah hendaknya orang Bani Kailah itu. Demi Allah, sekarang mereka sedang berkumpul di Quba’ kerana ada seorang lelaki yang baru datang dari Makkah pada hari ini, kata mereka, orang itu adalah Nabi”.

Mendengar khabar itu, menggeletarlah tubuh Salman. Dia merasakan seolah-olah dirinya akan terjatuh dari pokok kurma itu ketika itu. Kerana itu, Salman segera turun dan terus berkata kepada anak saudara tuannya itu.

“Apa katamu tadi?” tanya Salman.

Tuannya amat marah atas tindakan Salman yang amat tertarik dengan berita itu. Dia menampar Salman dengan satu tamparan yang amat kuat sekali, sehingga hampir Salman tersungkur kerananya.

“Hei, bedebah! Apa perlunya engkau dengar khabar itu, buatlah kerjamu!” kata tuannya dengan suara yang kuat.

“Tit…tit… tidak ada-apa tuan!” jawab Salman.

“Jadi…?”

“Saya hanya hendak menanyakan kepada anak saudara tuan ini sama ada khabar itu benar atau palsu,” jawab Salman sambil memegang pipinya yang kena tampar oleh tuannya tadi.

Setelah Salman pasti bahawa orang yang datang dari Makkah itu adalah seorang Nabi seperti yang dikatakan oleh Bishop di negeri Rom dahulu kepadanya, maka beliau bersiap-siap untuk pergi ke Quba’ di mana orang ramai menanti kedatangan Nabi itu.

Dengan perbelanjaan yang telah dikumpulnya sedikit demi sedikit, Salman berangkat ke Quba’ untuk menemui Rasul Allah yang pada waktu itu berada di sana. Sebaik saja sampai di Quba’, Salman terus masuk dan berkata kepada Rasullullah:

“Tuan…! Saya mendengar khabar bahawa tuan adalah orang salih, dan tuan mempunyai kawan-kawan yang sama berhijrah yang sedang memerlukan sedikit bantuan. Ini ada sedikit harta buat saya sedekahkan kepada tuan kerana saya melihat tuan-tuan amat berhak ke atasnya,” ujar Salman sambil meletakkan barang-barang yang disedekahkannya itu di hadapan mereka.

Melihat harta sedekah itu, Rasul memberi isyarat dengan tangannya, kemudian berkata kepada sahabat-sahabatnya itu:

“Makanlah olehmu!” katanya.

Sahabat-sahabat memakan harta sedekah itu beramai-ramai, tetapi Nabi tidak mengusiknya walau sedikit pun. Melihat keadaan itu Salman berkata dalam hatinya: “Ini adalah salah satu tanda yang dikatakan oleh Bishop dahulu, pastilah orang ini Nabi yang dikatakannya, “ fikir Salman.

Salman belum berpuas hati dengan tanda itu. Beliau masih ingin mencubanya dengan tanda yang lain. Maka setelah kembali ke Madinah, beliau mengumpulkan sedikit bahan makanan yang bakal diberikannya nanti kepada Nabi yang baru datang dari Makkah itu.

Setelah Rasullullah (saw) sampai di Madinah, Salman pun datang menemuinya dengan membawa barang makanan.

“Sebenarnya saya lihat tuan tidak mahu memakan sedekah, kerana itu saya tidak lagi akan bersedekah kepada tuan, makanlah makanan ini, ia adalah hadiah saya kepada tuan, bukan sedekah!” ujar Salman.

Mendengar perkataan Salman itu, Rasulullah (saw) menghulurkan tangannya lantas mengambil makanan itu dan memakannya. Baginda juga menyuruh para sahabatnya memakan makanan yang dibawa oleh Salman itu. Melihat keadaan itu, Salman berkata dalam hatinya: “Pastilah orang itu yang dikatakan oleh Bishop Rom kepada saya dahulu.” Dia telah melihat tanda-tanda yang dikatakan Bishop itu kepadanya.

Tidak beberapa lama sesudah itu, Salman pergi menemui Rasulullah yang waktu itu sedang berada di suatu tempat yang bernama Bai’il Gharkadi bagi mengiringi jenazah sahabatnya. Ketika itu Salman ada membawa dua helai selimut yang dibuatnya daripada kain tebal. Sehelai daripada kain itu hendak diberikannya kepada Rasulullah (saw). Kemudian Salman berputar kearah belakang Rasulullah untuk melihat tanda yang disebutkan oleh Bishop di Rom dahulu kepadanya.

Apabila Rasullullah melihat Salman berdiri di belakangnya, baginda membuka kain penutup belakangnya. Amatlah terkejutnya Salman apabila dilihatnya cap kenabian sebagaimana yang dikatanya oleh Bishop sewaktu dia di Rom dahulu. Sebaik saja tanda itu dilihatnya, maka Salman menelungkup ke belakang Rasullullah dan menciumnya sambil menangis tersedu-sedu.

gambar hiasan


“Bangkitlah Salman dan duduk di hadapanku!” ujar Rasullullah saw.

Maka Salman bangkit dan duduk di hadapan Rasullullah. Rasullullah bertanya kepada Salman tentang sebab-sebab dia menangis itu. Salman menceritakan kisah hidupnya semenjak beliau menjadi penjaga api Majusi hinggalah beliau berkhidmat dengan beberapa orang Bishop Nasrani.

Amat tertarik Rasullullah saw mendengar kisah pengembaraan Salman itu.

Bagaimanapun, Salman belum dapat bersama-sama pergi berperang dengan tentera Islam ke perang Badar atau perang Uhud, sebab pada waktu itu beliau masih menjadi hamba.

Setelah melihat peribadi Salman yang mulia itu, Rasullullah menyuruhnya menebus dirinya dengan kitabah, iaitu seseorang hamba abdi yang menebus dirinya dengan bayaran yang ditentukan, dan si hamba itu pula dibolehkan untuk mencari wang ke tempat lain oleh tuannya bagi menebus dirinya. Mendengar nasihat Rasullullah itu, Salman segera mendapatkan tuannya dan meminta dibuatkannya satu surat perjanjian kitabah. Tuannya bersetuju dengan syarat Salman mesti menanam sebanyak 200 pokok kurma dan membayar sebanyak 114 gram emas.

Salman memberitahukan perjanjiannya dengan tuannya itu kepada Rasullullah. Maka Rasullullah meminta para sahabatnya utntuk membantu Salman menebus dirinya. Para sahabat bersegera memberikan bantuan kepada Salman menurut kadar kemampuan masin-masing sehingga terkumpullah sebanyak 300 pokok anak tamar(kurma).

Setelah anak-anak tamar itu tersedia, maka Rasullullah saw menyuruh Salman pergi menggali lubang tempat menanam anak tamar itu di kebun tuannya. Apabila lubang  itu sudah siap, Rasullullah menyuruh Salman memberitahukan kepadanya. Ramai juga sahabat-sahabat Rasul yang membantu Salman menggali lubang itu sehingga dalam masa yang tidak begitu lama lubang telah selesai dibuat. Kemudian Salman pergi kepada Rasullullah dan menyampaikan kepada baginda bahawa lubang-lubang itu telah selesai dibuat.

Pada hari yang ditentukan, Rasullullah saw pergi ke kebun tuan Salman itu untuk membantu Salman menanam pokok-pokok kurma bersama beberapa orang sahabatnya. Tugas Salman dan para sahabat Rasul pada hari itu hanyalah mendekatkan anak-anak kurma itu ke tepi lubang, sedangkan yang menanamkannya itu Rasullullah sendiri dengan tangan baginda yang mulia.

Dengan telah selesainya penanaman pokok kurma itu, maka telah terbayarlah sebahagian daripada hutang Salman kepada tuannya. Kini tinggal lagi hutang emas sebanyak 114 gram. Sementara itu datanglah Rasullullah dari sebuah lombong, membawa emas sebesar telur ayam, kemudian menyerahkan emas itu kepada Salman.

gambar hiasan


“Salman! Ambillah emas ini dan bayarkanlah hutangmu dengannya!” kata Rasullullah saw.

“Bagaimana jadinya barang ini untuk saya, ya Rasullullah ?” tanya Salman.

“Ambillah, semoga nanti Allah akan menggantikannya!” ujar baginda.

Maka Salman mengambil emas yang diberikan Rasullullah itu, kemudian ditimbangnya, tepat benar, berat emas itu adalah 114 gram, iaitu seberat barang yang dijanjikannya dengan tuannya. Dengan segera Salman menyerahkan emas itu kepada tuannya, dan dengan demikian merdekalah Salman. Bebaslah dirinya dari perhambaan.

Dengan demikian, Salman sudah dapat pergi berperang bersama tentera Islam. Perang pertama yang disertai Salman ialah Perang Khandaq. Semenjak itu tiada lagi peperangan yang tidak disertai oleh Salman Bersama Rasullullah saw.

Demikian kisah perjuangan hidup Salman. Beliau hidup sebagai orang Islam yang sejati sehinggalah akhir hayatnya. Dari kisah-kisah Salman di atas, dapatlah kita ketahui bahawa semenjak dari kecil lagi Salman telah tertarik kepada beribadah di samping beliau juga banyak menderita kesusahan hidup dalam pengembaraan, mengembara untuk mencari kebenaran. Beliau sedia bergaul dengan pemimpin-pemimpin agama dan bersedia pula untuk berkhidmat dengan mereka.

Riwayat Salman ini amat penting dalam sejarah Islam. Dia adalah sebagai contoh manusia yang bersedia menempuh cabaran hidup demi kebenaran dan kepuasan hatinya. Dalam Islam beliau bersedia berkorban apa saja, tak kira harta ataupun nyawa, demi tegak dan jayanya agama Islam. Bahkan, rancangan untuk membina parit pada perang Khandaq atau perang Ahzab adalah datang daripada Salman Al-Farisi sendiri.

gambaran menggali parit semasa Perang Khandaq/Ahzab


Setelah Islam berkembang hingga ke negeri-negeri di luar tanah Arab, dan setelah peperangan tiada lagi, maka Salman kembali ke tanah airnya untuk memimpin umat Islam di sana.

Pada tahun 35 Hijrah, wafatlah beliau dengan meninggalkan jasa yang banyak terhadap Islam. Namanya terukir dalam sejarah. Beliau dimakamkan orang di Al-Hadai, ibu kota Parsi. Makamnya itu terletak dekat bekas Iwan atau Istana Besar Kisra, dan hingga sekarang masih diziarahi orang ramai. Kini makam beliau itu dikenal dengan Makam Salman Paak yang bererti Makam Salman Suci.

-----------------------------------------------TAMAT------------------------------------------------------

Hari Yang Penuh Berkat

Dengan hanya berbekalkan wang sebanyak lapan dirham dalam saku gamisnya, Rasullullah saw pergi ke pasar untuk membeli keperluan hariannya. Dalam perjalanan, baginda berjumpa dengan seorang perempuan dalam lingkungan umur lebih kurang empat puluh tahun. Perempuan itu sedang duduk di tepi jalan sambal menangis tersedu-sedu. Di sisinya terletak sebuah bakul kosong.

Amat terharu hati Rasullullah melihat keadaan perempuan itu. Kerana rasa ingin tahu hal keadaan Wanita itu, maka Rasullullah bertanya:

“Kenapa engkau menangis? “ tanya Rasullullah saw.

Perempuan itu menghapuskan airmatanya dan menatap orang yang menegur dan bertanya kepadanya. Lama juga menatap lelaki yang menegurnya itu, tetapi tidak dapat mengenalinya. Namun, daripada pandangan mata dan keramahan lelaki itu, perempuan itu dapat mengagak bahawa dia adalah seorang lelaki yang baik-baik, bukan orang jahat.

“Ss… ss… ss… saya takut, tuan!” jawab perempuan itu sambal menahan isak tangisnya.

“Apa yang engkau takutkan? “ tanya Rasullullah saw lagi.

“Ss… ss… ss… saya di… di… dis… disuruh oleh tuan saya berbelanja ke pasar. Tetapi wang untuk berbelanja itu hilang entah ke mana, telah saya usahakan mencarinya, namun tidak berjumpa!” jelas perempuan itu.

“Oooow… jadi engkau menangis kerana kehilangan wang itu?”

“Benar, tuan! Betapa tidak, saya ini adalah seorang hamba abdi. Kalau saya pulang ke rumah tuan saya tanpa membawa sebarang barang belanjaan, tentu tuan saya akan memarahi saya. Saya akan dipukulnya dengan rotan dan tidak akan diberi makan!” ujar perempuan itu sambil menahan isak tangisnya.

“Berapa wangmu yang hilang itu? “

“Dd… dddu… ddua ddid… ddir… dir… ham, tuan!”

Tanpa berpikir panjang lagi, Rasullullah saw mengeluarkan wang sebanyak dua dirham dari dalam saku gamisnya dan memberikannya kepada perempuan itu. Kemudian, baginda menyuruh perempuan itu pergi berbelanja ke pasar.

gambar hiasan


Perempuan itu menerima pemberian Rasulullah (s.a.w.) sambil mengucapkan ribuan terima kasih. Dia bangkit dari duduknya, dan terus pergi ke pasar membawa bakul kosong yang terletak di sampingnya tadi untuk berbelanja.

Selepas memberikan wangnya kepada perempuan itu, Rasulullah (s.a.w.) bersyukur kepada Allah kerana dalam keadaan yang demikian baginda dapat memberikan bantuan kepada orang yang amat memerlukan.

Seterusnya baginda pergi ke pasar. Di pasar baginda amat tertarik dengan seorang penjual kain yang menjajakan jualannya yang terdiri daripada berbagai jenis pakaian. Baginda membeli sehelai gamis, kerana gamisnya telah terlalu usang dan banyak bertampal. Kemudian, Rasullullah terus memakai baju yang baru dibelinya itu, manakala bajunya yang sudah using tadi dibungkus dan dibawanya balik ke rumahnya.

Tetapi baru sahaja Rasullullah ke luar dari pasar, baginda berjumpa dengan seorang pengemis tua yang sentiasa menadah tangannya kepada sesiapa saja yang lalu-lalang di situ. Tubuhnya hampir bertelanjang kerana pakaian yang dipakainya sudah koyak. Badannya kurus kering dan janggutnya panjang tidak terurus.

gambar hiasan


“Sedekahlah tuan! Sedekahkanlah baju buruk tuan itu kepada hamba! “ kata pengemis itu berhiba-hiba kepada Rasullullah saw yang sedang lalu di depannya. Barangkali pengemis tua itu mengetahui bahawa ketika Rasullullah pergi ke pasar tadi, baginda memakai baju usang dan bila baginda kembali, dilihatnya baginda memakai baju atau gamis baru.

Mendengar permintaan pengemis itu, Rasulullah saw terhenti sebentar. Baginda hairan kenapa pengemis itu tahu bahawa beliau ada membawa baju usang.

Pengemis itu masih menadahkan tangannya kepadanya kepada baginda sambil mengulangi permintaannya.

“Sedekahkanlah baju usang tuan itu kepada hamba! Percayalah tuan, bahawa nanti Allah akan mengganti baju tuan itu dengan baju yang baru di syurga!” ujarnya. Berulang-ulang dia mengucapkan kata-kata itu dengan suara yang nyaring dan berhiba-hiba.

Mendengar permintaan pengemis tua itu, Rasullullah saw bukan memberikan baju usangnya, tetapi baginda membuka baju baru yang sedang dipakainya, lantas menyerahkannya kepada pengemis itu.

“Nah, ini saya berikan kepada pakcik, yang usang ini akan saya pakai semula,” ujar Rasullullah.

Pengemis itu merasa hairan pula menerima pemberian yang tidak disangka-sangkanya itu. Bagaimanapun baju pemberian Rasullullah saw itu segera dipakainya.

“Terima kasih, tuan! Semoga Allah akan membalas budi baik tuan, dan tuan akan menerima balasan yang berlipat ganda di syurga kelak. Dan Rasullullah sendiri akan mendoakan tuan kepada Allah, apabila mengetahuinya,” ujar pengemis itu. Rupanya dia belum kenal kepada Rasullullah saw.

Setelah memberikan baju yang baru dibelinya itu, Rasullullah saw kembali semula ke pasar dan baginda membeli lagi sehelai gamis yang serupa dengan gamis yang diberikannya kepada pengemis tua tadi. Baju itu dibungkus dan dibawanya pulang ke rumahnya.

Baginda berjalan cepat-cepat kerana waktu maghrib sudah hampir tiba. Bagaimanapun dalam perjalanan pulang, baginda melihat wanita yang diberinya wang tadi sedang menangis pula ditepi jalan. Rasullullah saw menghampirinya dan dilihatnya bakul wanita itu sudah penuh berisi barang-barang belanjaan dari pasar.

“Hei, tadi engkau menangis kerana wangmu hilang dan bakulmu kosong, tetapi sekarang bakulmu sudah penuh namun engkau masih menangis juga, apa lagi yang engkau tangiskan?” tanya Rasullullah saw.

“Ssss… ssa… say… saya tt… ttak… takk… takut, tttu… tt… ttu… tuan! Jawab perempuan itu sambil menundukkan mukanya.

“Takut? Apa lagi yang engkau takutkan?”

“Ssaya takut kena marah nanti setelah saya sampai di rumah!”

“Kenapa engkau mesti kena marah?”

“Sebab saya sudah lama benar berbelanja di pasar. Tuan saya nanti akan memarahi saya dan menuduh saya melakukan pekerjaan yang tidak baik dan saya akan dideranya dengan rotan!” jelas perempuan itu.

“Hmmmh, ada-ada saja masalah kamu!” ujar Rasullullah saw. Kalau begitu baiklah saya hantarkan engkau pulang. Akan saya terangkan nanti kepada tuanmu sebab-sebab engkau terlambat pulang agar engkau tidak dimarahinya!”

Perempuan itu mengangguk tanda setuju, lantas dia bangkit dari duduknya dan menjunjung bakulnya yang penuh dengan barang belanja itu. Melihat keadaan itu baginda menyuruh perempuan itu berjalan di hadapan dan baginda mengiringinya di belakang. Maka berjalanlah perempuan itu sambil membawa barangnya. Hatinya mulai lega, tetapi masih takut-takut sedikit.

“Inilah kampung tempat tinggal saya, tuan!” ujar perempuan itu kepada Rasullullah saw. Rupanya dia tinggal di Kampung Anshar. Setelah beberapa saat kemudian, sampailah mereka di sebuah rumah yang dikatakan perempuan itu rumah tuannya.

Besar kemungkinan, penghuni rumah itu telah melihat dari jauh, bahawa hambanya kembali dengan ditemani oleh seorang lelaki. Oleh kerana itu mereka cepat-cepat masuk ke rumah dan mengintai dari balik pintu.

“Ini rumah tuanmu?” tanya Rasullullah.

“Benar, tuan!” sahut perempuan itu.

Rasullullah saw segera mengucapkan salam kepada penghuni rumah itu.

“Assalaamu’alaikum wa rahmatullaahi wa barakaatuh!”

Tiada seorangpun yang menjawab salamnya. “Hairan…! Tadi ada orang yang ternampaknya dari luar rumah ini,” fikir Rasullullah.

“Assalaamu’alaikum wa rahmatullaahi wa barakaatuh!” Rasullullah saw mengucapkan salam sekali lagi. Kali ini beliau agak menguatkan suaranya, namun salam baginda itu tiada juga berjawab.

Kemudian Rasullullah saw mengucapkan salam sekali lagi. Sudah tiga kali baginda mengucapkan salam untuk isi rumah itu. Baru saja baginda selesai mengucapkannya, dengan serentak penghuni rumah itu menjawab salam Rasullullah saw tadi dengan suara yang kuat.

“Wa’alaikumus Salaam, yaa Rasullullah, wa barakaatuh!” ujar mereka beramai-ramai. Kemudian keluarlah beberapa orang perempuan dari rumah itu.

“Salam engkau tadi, ya Rasullullah, adalah suatu doa yang mustajab. Oleh yang demikian kami menunggu hingga salam itu engkau ulang mengucapkannya sebanyak tiga kali, supaya kami mendapat berkat yang berlipat kali ganda, wahai Rasul Allah yang mulia!” ujar mereka sambil mempersilakan Rasullullah saw naik ke rumah.

“Terima kasih banyak, tak usahlah saya naik kerana di rumah ini tidak ada lelaki. Tak baik perempuan menerima tamu lelaki di rumahnya, apabila dirumahnya itu tiada seorangpun orang lelaki. Tambahan lagi, kedatangan saya ke mari bukanlah untuk berkunjung, tetapi adalah bagi menghantarkan hambamu itu. Menurut katanya, dia sudah terlambat pulang dari pasar. Tadi saya temui dia sedang menangis di tepi jalan. Apabila saya tanyakan kepadanya kenapa dia menangis, katanya ia takut kena marah oleh tuannya sebab dia terlambat pulang dari pasar. Itulah sebabnya saya menghantarkannya ke mari. Oleh yang demikian, janganlah kamu dera dia disebabkan kesalahannya yang sedikit itu,” ujar Rasullullah saw.

“Demi Allah, ya Rasul Allah, kami tidak akan menderanya. Malahan, kami amat bahagia pada petang hari ini kerana sudah mendapat berkat yang tidak terhingga. Oleh kerana itu, maka dengan bersaksikan engkau, ya Rasul Allah, hamba kami ini kami merdekakan!” ujar salah seorang daripada mereka.

Adapun hamba sahaya yang baru dihantar pulang oleh Rasullullah saw tadi merasa takut, segan bercampur malu. Kerana baru waktu itulah dia mengetahui siapa sebenarnya lelaki yang memberinya wang pagi tadi dan menghantarnya pulang pada waktu petangnya. Rupanya orang itu adalah Rasullullah saw. Serta merta hamba itu meletakkan bakulnya dan berlutut mencium tangan Rasullullah saw.

“Wahai Rasullullah, dengan apa kiranya akan saya balas budimu yang begitu agung terhadap saya. Hanya Allah sajalah yang akan membalasnya!” ujar wanita itu sambil menangis terisak-isak, tangis bahagia.

“Saya pun sangat bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Adil. Engkau sudah merdeka dan tetaplah engkau bersyukur kepada Tuhan kerana Dia jualah maka engkau beroleh kemerdekaan dirimu pada hari ini,” ujar Rasullullah saw.

gambar hiasan


Rasullullah saw pulang ke rumahnya dengan perasaan yang amat gembira. Wangnya sebanyak lapan dirham yang dibawanya pagi tadi amat banyak membawa berkat di hari itu. Dia akan diberkati Allah, selama baju yang disedekahkannya dengan nama Allah tadi dipakai oleh pengemis tua itu. Dan pada hari yang bahagia itu juga seorang hamba sahaya telah dimerdekakan oleh tuannya.

Manakala hamba sahaya perempuan itu pula, menangis kerana kehilangan wang dua dirham pagi tadi membawa berkat yang tidak terlupakan sepanjang hayatnya. Kejadian itu adalah merupakan salah satu sebab mengapa dirinya beroleh kemerdekaan pada hari itu.

Demikianlah, Rasullullah saw sentiasa memberikan bantuan kepada sesiapa saja yang memerlukan. Sifat dan cara hidup baginda ini patut kita teladani dalam hidup kita sehari-hari.



 ------------------------------------------------TAMAT----------------------------------------------------

 TAMAT MENAIP : 17122021

Penulis : AKMAL HAJI MUHD. ZAIN[Sarjana Muda BA Ushuluddin, Universitas Islam Riau, Indonesia]
Tajuk buku : SALMAN AL-FARISI MEMELUK AGAMA ISLAM
Penyunting : S.E. Usman
Penerbit : PUSTAKA AL-MIZAN
Dicetak oleh : SYARIKAT PREMA
Bilangan muka surat : 27


 

Comments

Popular posts from this blog

Kisah Serigala dengan Nabi Ya'qub A.S. dan Nabi Ibrahim Dibakar

ISABELLA Pemusnah Islam di Sepanyol

IBNU RUSYD