SALAHUDDIN AL-AYYUBI Pahlawan dari Seratus Medan Perang

Bismillah



PAHLAWAN DARI SERATUS MEDAN PERANG

Salahuddin Al-Ayyubi atau disebut oleh orang Barat dengan panggilan 'Saladin' ialah seorang pahlawan Islam yang amat disayangi oleh umat Islam dan disanjungi oleh orang-orang Barat. Sungguhpun dia pahlawan yang handal di medan perang sehingga digelarkan 'Pahlawan Dari Seratus Medan Perang' , tetapi mempunyai peribadi yang mulia dan akhlak yang tinggi.

BELAJAR DENGAN BAPA DAN BAPA SAUDARA

Namanya yang sebenar ialah Al-Nasir Salahuddin Yusof bin Najmuddin Al-Ayyubi berasal daripada keturunan Kurdi di negeri Armenia, lahir pada tahun 1138 di Tikrit yang sekarang ini terletak di Iraq.

Pada waktu kecil Salahuddin mendapat asuhan daripada bapanya sendiri dan bapa saudaranya rang bernama Asaduddin Syirkuh. Bapanya ialah orang yang bijak dalam pentadbiran negeri dan bapa saudaranya pula pahlawan yang gagah dan berani lagi handal dalam peperangan. Kedua-duanya itu menjadi orang besar dalam kerajaan Syria di bawah pemerintahan Sultan Nuruddin Mahmud.

MASUK KE MEDAN PERANG

Dalam tahun 1167, ketika Salahuddin berusia 29 tahun, ia telah menyertai angkatan perang bapa saudaranya ke Babain menentang seorang menteri Mesir yang belot. Ramai tentera Mesir menyebelah kepada menteri dan mereka telah bergabung dengan tentera Perancis yang berjuang hendak menewaskan pemerintahan Islam melalui Perang Salibnya. Jumlah tentera tersebut sangat ramai.

Angkatan dari Syria ini hanya mengandungi seribu tentera berkuda sahaja, tetapi mereka cukup terlatih dan cekap berperang.

Serbuan tentera Asaduddin Syirkuh ke Babain sungguh hebat dan menggemparkan. Pertempuran telah meletus. Salahuddin berjuang dengan tangkas dan handal. Akhirnya tentera Asaduddin telah berjaya menghancurkan pasukan Perancis dan Mesir itu serta menewaskan menteri yang belot.

JADI PERDANA MENTERI

Dua tahun kemudiannya baru Asaduddin Syirkuh dan Salahuddin sampai ke Kahirah, ibu negeri Mesir. Mereka menemui Khalifah Fatimiyah. Asaduddin telah dilantik menjadi menteri dan panglima angkatan perang Mesir.

Selepas bapa saudaranya itu meninggal, Salahuddin telah dilantik menjadi Perdana Menteri Mesir. Rakyat Mesir sangat menyukai Salahuddin kerana sifatnya yang pemurah dan bijaksana. Apabila khalifah wafat, Salahuddin pun menjadi pemerintah Mesir.

BERTEMPUR DI SYRIA

Di Syria pula Sultan Nuruddin Mahmud telah mangkat selang tiga tahun daripada khalifah. Putera baginda yang baru berusia 11 tahun, Malikus-Saleh menggantikannya. Malangnya pembesar Syria bernama Gumusytagin menguasai pemerintahan. Hal ini telah menyebabkan tentera Salib dari Perancis berjaya menawan Damsyik, ibu kota Syria. Malikus-Saleh dan para pembesarnya melarikan diri ke Aleppo.



Salahuddin mengatur rancangan lalu menyerang tentera Salib itu dengan gagah beraninya. Walaupun jumlah tentera berkudanya kecil, namun Damsyik dapat ditawan kembali. Malikus-Saleh dirajakan kembali mewarisi takhta ayahandanya sehinggalah ia meninggal pada tahun 1182. Selepas itu, Salahuddinlah yang memerintah Syria dan Mesir.

MENUNTUT BELA

Tentera Salib Perancis telah membuat perjanjian damai dengan Salahuddin di Palestin, tetapi Paderi Reginald di Kastillon telah menyerang dan membunuh orang Islam yang melalui tempat itu. Akhirnya Salahuddin telah mengerah tenteranya mengepung Bukit Hittin kemudian menyerbunya dengan dahsyat.

Dalam masa yang singkat sahaja, tentera Salahuddin terus mara ke kota yang diduduki oleh orang-orang Kristian lalu menawan kembali Nablus, Jerico, Ramalah, Kaosorea, Arsuf, Jaffa dan Beirut.

MENAKLUK JERUSALEM

Setelah itu, Salahuddin menumpukan perhatian ke arah Jerusalem pula. Jerusalem telah ditakluki oleh orang Kristian pada tahun 1099 yang lalu dalam Perang Salibnya (perang suci orang Kristian terhadap umat Islam) dengan mengorbankan puluhan juta nyawa umat Islam tanpa belas kasihan. Mereka telah diseksa, disembelih dan dibunuh dengan dahsyatnya.

Pada tahun 1193, Salahuddin menyerang Jerusalem lalu merampasnya kembali dari tangan Kristian. Berbeza dengan zaman penaklukan orang-orang Kristian, Salahuddin telah memberikan pengampunan kepada umat Kristian.

Dari Jerusalem, Salahuddin mengarahkan tenteranya ke Tyre untuk menumpaskan tentera Salib yang berbalik menentangnya. Kemudian ia teru smara ke beberapa bandar di pinggir pantai dan menaklukinya termasuk Laodicea, Jabala, Saihun dan Debersak.

RICHARD BERHATI SINGA


RICHARD THE LION HEART
Kejatuhan kota Jerusalem ke tangan orang Islam telah menggemparkan dunia Eropah yang dikuasai oleh orang-orang Kristian. Raja-raja mereka turut mengatur rancangan untuk menyerang Jerusalem. Seluruh rakyat dikerah menyertai tentera Salib.



Kaisar Jerman dan Perancis serta Raja Inggeris bergabung untuk menyerang Jerusalem. Tentera Salib berjaya menawan Akra dan Raja Inggeris, Richard yang bergelar 'Richard the Lion Heart' (Richard Berhati Singa) telah membunuh orang-orang Islam
 tanpa berperikemanusiaan.



SELINDANG SUTERA

Salahuddin bertidak segera mematahkan serangan musuh Islam itu dengan bijaksana. Dalam masa peperangan itu, Salahuddin telah mengirim cenderamata berupa sehelai selindang sutera kepada raja itu dan meminta ia mengerat dengan pedangnya, tetapi gagal. Tentera Salahuddin boleh memutuskannya dengan sekali tetak sahaja.

Setelah bertempur hebat di sepanjang pantai lebih 240 kilometer, Richard Berhati Singa itu minta berdamai. Perjanjian damai itu telah dibuat pada bulan September 1192.

Salahuddin telah kembali ke rahmatullah pada 4 Mac 1193 dan dikebumikan di Damsyik. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas ruhnya. Amin !

Alhamdulillah


Penulis/susunan : MATLOB
Tajuk buku : SALAHUDDIN AL-AYUBI Pahlawan dari seratus medan perang
Siri : Siri Tokoh Perang
Tahun Cetakan : 1991
Publisher : BADAN BOOK STORE
Dicetak oleh : Cetaktama Sdn. Bhd.
Bilangan muka surat : 22
ISBN : 983-9726-18-8







Comments

Popular posts from this blog

Kisah Serigala dengan Nabi Ya'qub A.S. dan Nabi Ibrahim Dibakar

ISABELLA Pemusnah Islam di Sepanyol

IBNU RUSYD