SUBUH YANG MERAH ( UTHMAN BIN AFFAN )

bismillahirrahmaanirrahiim

SUBUH BERDARAH

Abu Lukluah ialah seorang hamba berbangsa Parsi dan beragama Majusi yang kemudiannya memeluk Kristian. Setelah lama menjadi hamba kepada orang Romawi itu, dia dijual kepada Mughirah di Mesopotamia. Menetaplah dia di Madinah.

Pada suatu hari, Abu Lukluah telah mengadu kepada Khalifah Umar bin al-Khattab. Mughirah telah memaksanya membayar sebanyak dua dirham kepadanya setiap hari. 

Abu Lukluah tidak mampu membayar wang sebanyak itu. Kedua belah pihak telah berselisih faham dan pertengkaran pun berlaku.

Demikianlah pengaduan Abu Lukluah.

"Baiklah, pengaduanmu aku terima. Esok sekitar waktu solat Duha, kita adakan perbincangan untuk menegakkan keadilan. Mughirah juga akan hadir," kata Khalifah Umar.
Keesokan harinya, Abu Lukluah telah mencuri masuk ke dalam masjid ketika Khalifah Umar sedang mengimami solat Subuh. Dia telah menikam Khalifah Umar dengan pisau. Beliau masih sempat meminta Abdurrahma bin Auf menggantikannya sebagai imam.

Khalifah Umar terjatuh. Abdur Rahman bin Auf segera menghampiri Khalifah Umar dan dilihatnya perut khalifah itu terluka serta berlumuran darah. "Pembunuh! Tangkap pembunuh Khalifah, tangkap!!! " jerit Abdur Rahman.

Para jemaah menjadi gempar. Setelah itu ramai orang mengejar pembunuh itu.

Abdur Rahman bin Auf dengan dibantu oleh beberapa orang lain memberikan rawatan kecemasan kepada Khalifah Umar bin al-Khattab. 

"Siapa telah mati?" tanya Abdur Rahman bin Auf.

"Orang yang menikam Amirul Mukminin," jawab salah seorang daripada mereka.

"Kenapa tidak ditangkap hidup-hidup? Kalau ia mati, sukarlah bagi kita mengadakan penyiasatan," ucap Abdur Rahman bin Auf.

"Dia telah membunuh diri, setelah berjaya menikam Amirul Mukminin dan beberapa orang daripada jemaah kita," jawab mereka.

"Rawatlah saudara-saudara kita yang terluka. Adakan penyelidikan dan penjagaan di sekitar masjid!" perintah Abdur Rahman bin Auf.

Khalifah Umar bin al-Khattab sedar dari pengsannya. "Siapakah orangnya yang telah berusaha membunuhku?" soal Khalifah Umar bin al-Khattab.

"Abu Lukluah."

"Abu Lukluah? Syukurlah, orang yang berusaha membunuhku itu bukan seorang yang muslim," ucap Khalifah Umar bin al-Khattab.

"Dia mati bunuh diri. Tapi, telah melukai empat belas orang muslimin," kata salah seorang sahabat yang berada di situ.

Khalifah Umar bin al-Khattab semakin tenat. Luka yang dideritainya semakin parah. Beliau memanggil Uthman bin Affan, Ali bin Abu Talib, Sa'ad bin Abu Waqqas, Abdur Rahman bin Auf, Zubir bin Awwam dan Talhah bin Khuwailid.

Setelah semuanya berada di hadapannya, Khalifah Umar bin al-Khattab memberitahu agar salah seorang daripada mereka bersedia menjadi khalifah apabila beliau mangkat kelak. Permintaaan Khalifah Umar itu dipenuhi oleh keenam sahabat itu.

Khalifah Umar bin al-Khattab telah menyatakan keinginannya agar dimakamkan berdampingan dengan makam Rasulullah s.a.w. Keinginannya itu dipenuhi oleh Aisyah r.a.

Beliau wafat pada 16 Zulhijjah, tahun 23 H (645 M) ketika berusia enam puluh tiga tahun.

Abdur Rahman bin Auf telah dilantik sebagai ketua perbincangan. Beliau berharap agar perbinvangan itu dapat dijalankan dengan segera tanpa sebarang perbalahan.

"Sesuai dengan wasiat almarhum Khalifah Umar , kita harus memilih salah seorang daripada kita untuk kita percayakan menjadi khalifah. Bukankah begitu, hai putera Umar bin al-Khattab?" tanya Abdur Rahman.

"Ya" jawab Abdullah yang menjadi saksi ketika bapanya mewasiatkan hal itu kepada mereka.

"Saya tidak sedia dicalonkan. Oleh kerana itu, kita harus memilih seorang khalifah daripada calon-calon yang telah diwasiatkan oleh almarhum dahulu," kata Abdur Rahman.

Daripada suara-suara yang berhasil dikumpulkan itu, jelaslah Uthman bin Affan dipercayai ramai untuk menjadi khalifah.

Kebetulan ketika itu romboingan kaum muslimin daripada segenap pelososk sedang berkumpul untuk menunaikan ibadat haji. Abdur Rahman mendatangi mereka dan bertanyakan tentang calon khalifah. Ternyata pada umumnya mereka menyetujui Uthman bin Affan dilantik menjadi Khalifah. Dengan itu, semakin kuatlah kedudukan Uthman.

Pada hari keempat, sesuai dengan rancangan mereka, Abdur Rahman bin Auf mengumumkan kepada seluruh rakyat bahawa Uthman bin Affan menjadi khalifah menggantikan Khalifah Umar.

"Wahai rakyat yang kucintai ! Hidupkanlah rasa takwa kepada Allah S.W.T. dalam jiwa kamu semua ! Sesungguhnya dunia ini adalah medan permainan, penuh dengan hal-hal yang indah dan menyenangkan. Tetapi semuanya itu tidaklah kekal. Ketahuilah, bahawa di alam akhirat tersedia seksa yang amat dahsyat mahupun keampunan Allah yang Maha Pengasih," ucap Khalifah Uthman bin Affan.

"Aku telah kamu semua pilih menjadi khalifah. Jawatan ini kuterima. Aku, sebagai pengikut Rasulullah s.a.w. akan tetap mengabdi selama hidupku! Janganlah kamu semua tertipu dan terpengaruh. Ambillah iktibar daripada perjalanan hidup segenap kaum yang terdahulu daripada kita," tambah beliau.

Keadaan di Parsi tenang dan damai. Namun, enam bulan kemudian pemberontakan melawan kekuasaan Islam telah berlaku. Raja Yezdejird menghasut penduduk Parsi agar memberontak kepada pemerintah Islam.

Khalifah Uthman bin Affan mengirimkan tentera-tenteranya untuk menumpaskan pemberontakan itu. Ramai para pemberontak berjaya ditangkap.

Penyerbuan ke daerah Parsi untuk kedua kalinya ini membawa banyak kemenangan. Pemberontakan dapat dihapuskan dan penguasa Hirat, Kabul dan Ghazni pun menyatakan kesetiaan mereka kepada pemerintah Islam. Sebahagian besar daerah Khurasan, termasuk Nishapur, Tus dan Merv jatuh ke tangan pihak Islam pada tahun 30 H.

Setahun kemudian, Yezdejird meninggal dunia. Pada tahun 32 H, pasukan Islam menyerang pasukan Turki di Azerbaijan. Mereka memperolehi kemenangan.

Tentera-tentera Islam sentiasa beroleh kemenangan dan akhirnya daerah kekuasaan Islam berkembang ke sebelah utara dan timur perbatasan.

Pasukan tentera Romawi yang sudah tiada kesetiaan kepada Islam juga dapat ditumpaskan. Dengan gigih mereka menyerang dari perbatasan Suriah hingga ke Asia Kecil. Musuh di Armenia juga dapat dihapuskan. Dari sini, mereka kemudian bergerak ke Tabristan. Di daerah ini mereka bertemu dengan pasukan Islam dari Persia yang turut menyerang atau memburu musuh. Dari daerah itu mereka kemudian bergerak ke arah utara hingga ke daerah Tiflis dan Laut Hitam.

Pasukan Islam di Suriah memperolehi kemenangan gilang gemilang. Namun, oleh kerana pasukan Romawi terus menyerang setiap tahun, mereka terus bertenaga meningkatkan pertahanannya.

Pada masa pemerintahan Khalifar Umar, Muawiyah pernah memohon izin kepadanya untuk menyerang Cyprus. Permohonannya itu ditolak oleh Khalifah Umar. Ketika itu pasukan Islam belum mempunyai angkatan laut yang kuat. Permohonan Muawiyah itu diajukannya kembali kepada Khalifah Uthman bin Affan.

Khalifah Uthman menyetujui cadangan Muawiyah itu. Beliau memerintahkan kepada Muawiyah agar segera membentuk angkatan laut. Segala peralatan serat anggota tentera disediakan.

Apabila semuanya selesai, tentera laut Islam di bawah pimpinan Muawiyah menyerang Cyprus. Setelah melalui perjuangan yang sengit, akhirnya pulau itu dapat direbut dan tentera Romawi ditewaskan.

Namun, empat tahun kemudian ternyata mereka banyakyang membantu tentera Romawi merebut kembali pulau itu. Kekuasaan Islam semakin kukuh di Cyprus.

Setelah menawan Cyprus pada tahun 28 H, tentera Islam meneruskan serangan ke Pulau Kriti dan Rhodus. Kedua-dua pulau itu juga berhasil ditawan oleh mereka.

Pelabuhan Aleksandria kembali dapat dikuasai pasukan Islam.

Sementara itu, perselisihan faham telah berlaku anatara Amru bin Ash, Gabenor Mesir dengan Abdullah bin Saad. Untuk mengatasi hal itu, Khalifah Uthman mengahntar Amru bin Ash ke Madinah. Abdullah bin Saad, saudara tiri beliau telah dilantik untuk menggantikan Amru menjadi gabenor Mesir.

Serangan pasukan tentera Romawi tetap dilancarkan. Khalifah Uthman memerintahkan gabenor baru itu menumpaskan mereka. Tentera Romawi di Afrika Utara yang seramai 120 000 orang itu perlu diserang. Tentera bantuan dikirimkan untuk membantu kekuatan tentera Islam. Sekali lagi tentera Romawi dapat ditewaskan.

Pasukan Islam dapat menguasai pasukan Jazirah Afrika sebelah Utara. Tetapi lima tahun kemudian, bahaya yang sama mengancam lagi. Kerajaan Romawi mengirimkan bala tenteranya sebanyak lima ratus buah kapal menyerbu Mesir. Abdullah bin Saad, dengan tentera yang kecil bilangannya dapat menghalang kemaraan itu dan akhirnya menumpaskan tentera Romawi.

Kejayaan pasukan Islam di bawah pimpinan Khalifah Uthman dalam menumpaskan beberapa pemberontakn tidak diragukan lagi. Begitu juga ketika menghadapi tentera Parsi dan R omawi. Pasukan-pasukan Islam dapat merebut dan menguasai beberapa daerah baru dan kekuasaan Islam semakin berkembang. 

Usaha Khalifah Uthman yang paling penting ialah pembukuan al-Quran.

Pada ketika itu, kehidupan beribadat semakin meningkat. Perkara ini sangat menggembirakan Khalifah Uthman. Semangat mempelajari Islam melalui al-Quran semakin meningkat.

Pada mulanya ayat-ayat suci al-Quran tidak dibukukan. Untul mengatasi masalah kehilangan atau sebarang kemusnahan, Khalifah Uthman memerintahkan para hafiz al-Quran untuk menyalin ayat0ayat al-Quran yang disimpan oleh Hafsah binti Umar.

Al-Quran yang disalin itu adalah hasil susunan Zaid bin Tsabit atas perintah Abu Bakar as-Siddiq. Para hafiz al-Quran yang mendapat tugas daripada Khalifah Uthman itu berhasil menyusun enam buah kitab. Keenam kitab itu diperiksa dengan teliti di bawah pimpinan Khalifah Uthman sendiri.

Setelah selesai diperiksa, lima buah daripadanya dikirimkan ke lima daerah, sementara sebuah lagi tetap disimpan di Madinah. Keenam-enam kitab itulah yang menjadi bahan percetakan kitab-kitab al-Quran selanjutnya sehingga kini.

Khalifah Uthman telah membentuk satu pasukan atau kelompok kerja. Kelompok kerja ini mempunyai tugas mengumpulkan kitab-kitab itu kepada mereka. Setelah terkumpul semuanya, kitab-kitab itu dibakar.

Bentuk organisasi pemerintahan di bawah Khalifah Uthman tidak jauh berbeza dengan bentuk pemerintahan pada masa khalifah-khalifah sebelumnya. Pemerintahan beliau untuk menegakkan Islam itu berjalan dengan baik.

Kekuasaan puncak ada pada Khalifah. Beliau bertanggungjawab atas semua perencanaan dan perlaksanaan pemerintahan. Di samping itu, ada sebuah dewan penasihat yang disebut majlis Syura. Di daerah-daerah, benteng-benteng telah dibina di lereng-lereng bukit untuk menghalang berlakunya banjir.

Walaupun Khalifah Uthman telah berjaya meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan masyarakat serta mengembangkan daerah kekuasaan Islam, namun ada saja kaum muslimin yang tidak senang hati kepadanya. Mereka menuduh beliau telah mengangkat saudara-saudaranya untuk memegang jawatan-jawatan tinggi.

Khalifah Uthman telah melantik saudara-saudaranya untuk menjadi gabenor. Ini disebabkan oleh pertimbangan atas kecekapan dan pengabdian mereka mengembangkan Islam, bukannya daripada alasan kekeluargaan.

Muawiyah, gabenor Suriah, adalah saudara terdekat Khalifah Uthman. Tetapi beliau dilantik menjadi gabenor oleh Khalifah Umar bin al-Khattab.

Sa'ad bin Abu Waqas, gabenor Iraq, ditarik daripada jawatannya kerana tidak dapat menyelesaikan perselisihannya dengan Abdullah bin Mas'ud. Perselisihannya itu tentang masalah kewangan.

Untuk mengatasi masalah itu, Khalifah Uthman telah memberhentikan Sa'ad. Kedudukannya digantikan oleh Walid bin Uqbah, saudara dekat Khalifah. Beberapa tahun kemudian, dia diberhentikan pula oleh Khalifah kerana pernah meminum minuman keras di khalayak ramai. Selain itu, dia juga telah melanggar hukum Islam dan undang-undang.

Khalifah Uthman telah menggantikan Walid dengan Said bin As. Di bawah pimpinan pemuda yang kurang berpengalaman itu, penduduk Kufah yang menentang Khalifah bertambah ramai dan kuat. Beliau tidak dapat menjalankan tugas yang dibebankan kepadanya dengan baik. Beliau digantikan oleh Abu Musa El Asyhari yang langsung tidak mempunyai hubungan darah dengan Khalifah.

Abu Musa El Asyhari adalah gabenor daerah Basrah yang diangkat oleh Khalifah Umar. Khalifah Uthman menggantikannya dengan Abdullah bin Amir. Beliau dituduh oleh rakyat Basrah berat sebelah kepada kaumnya saja, iaitu kaum Quraisy. Beliau seorang yang sangat berjasa kerana berhasil mempertahankan kedaulatan Islam di daerah Parsi. Pasukan tentera Islam di bawah pimpinannya telah berjaya menakluk daerah-daerah baru.

Pada tahun kelapan pemerintahan Khalifah Uthman, seorang Yahudi Yaman telah datang ke Basrah. Ketika itu Abdullah bin Amir menjadi gabenor. Orang Yahudi itu bernama Abdullah bin Saba. Setelah menjadi penduduk Basrah, dia memeluk agama Islam. Dia memeluk agama Islam hanya sebagai topeng.

Penduduk Basrah telah dihasut agar tidak setia terhadap gabenor. Perkara ini kemudian diketahui oleh Abdullah bin Amir, gabenor Basrah. Beliau telah memerintahkan Abdullah bin Saba untuk meninggalkan Basrah.

Abdullah telah membawa orang ke Kufah dan Basrah. Dia berhasil mempengaruhi beberapa orang di situ. Orang-orang itu turut menyebarkan berita untuk menentang Khalifah. Dia tidak dapat memainkan peranannya di Suriah. Gerak-gerinya sentiasa diawasi ketat.

Di Mesir, dia menyebarkan hasutan dan fitnah.

"Khalifah Uthman telah merebut hak anak saudara Rasulullah s.a.w. iaitu Ali bin Abu Talib. Ali lah yang sepatutnya menjadi Khalifah, bukannya Uthman," katanya.

Dia telah menggunakan agama sebagai alat penentangannya. Ramai orang yang telah terpengaruh dengan fitnah yang disebarkannya.

Para penghalang telah berusaha dngan berbagai-bagai cara untuk membangkitkan ketidakpuasan terhadap Khalifah Uthman. Pemerintah-pemerintah Islam sentiasa difitnah. Kaum Badwi yang terkenal dengan keberanian dan ketangkasannya di medan perang pun dihasutnya.

"Kamu semua hanya diperalatkan. Mereka tidak memberi apa-apa penghormatan kepada kamu. Kamu tidak dapat menjawat jawatan tinggi walaupun sudah bergadai nyawa menjadi anggota angkatan perang. Jangan lagi percaya akan kata-kata Khalifah Uthman," kata Abdullah kepada orang-orang Badwi.

"Lihatlah!" kata para pengacau.

"Kamu semua langsung tidak diendahkan lagi. Bila tiba masa untuk berperang saja kamu diperlukan. Mereka yang memperolehi keuntungannya."

Demikianlah cara mereka membakar perasaan orang-orang Badwi.

Pada kenyataannya memang benar. Pemegang jawatan tinggi ramai yang berasal daripada kaum Quraisy. Ini disebabkan kaum Quraisylah yang paling maju bila dibandingkan denga kaum-kaum lainnya. Orang-orang Quraisy pada umumnya berpengetahuan luas.

Orang-oarng Badwi hanya diperlukan dalam peperangan. Dalam bidang-bidang seperti perniagaan dan pemerintahan, mereka disisihkan. Pada umumnya, mereka hanya menguasai ilmu berperang. 

Hasutan para pengacau yang melibatkan suku kaum itu mendatangkan hasil. Mereka menyebarkan pelbagai fitnah tentang para gabenor. Untuk membuktikan hal itu, Khalifah Uthman mengutuskan beberapa orang para penyiasat. Mereka ialah Abdullah bin Umar, Usamah bin Zaid, Muhammad bin Muslim dan Ammar bin Yasir.

Para penyiasat itu, kecuali Ammar bin Yasir, telah melaporkan hasil penyiasatan mereka kepada khalifah. Berita-berita tentang keburukan para gabenor itu hanyalah fitnah belaka. Laporan daripada Ammar bin Yasir tidak pernah diterima oleh Khalifah kerana dia kembali terpengaruh denga gerakan Abdullah bin Saba.

Setelah berpihak kepada para pengacau itu, Ammar tidak kembali lagi ke Madinah untuk memberi laporan.

Pada suatu hari dalam tahun 35 H, kumpulan pemberontak dari Mesir, Suriah, Basrah dan Kufah (Iraq) datang menghadap Khalifah Uthman. Mereka menuntut agar para gabenor diganti.

Khalifah Uthman hanya meluluskan permintaan mereka tentang penggantian gabenor Mesir. Sesuai dengan usul mereka, gabenor Mesir, Abdullah bin Saad digantikan dengan Muhammad bin Abu Bakar.

Setelah mendengar kesediaan Khalifah Uthman itu, mereka kembali ke daerah masing-masing.

Tetapi, beberapa hari kemudian mereka kembali lagi. Ali bin Abu Talib menemui mereka. Mereka ditanya tentang maksud kedatangan mereka kali ini. Salah seorang daripada perusuh itu menunjukkan sehelai surat kepada Ali. Ali membaca surat itu dengan teliti. 

"Begitulah. Khalifah telah berjanji kepada kami bahawa Abdullah bin Saad akan digantikan oleh Muhammad bin Abu Bakar. Tetapi, setelah kami mengundurkan diri, Khalifah telah mengirimkan penyiasat ke Mesir. Suratnya telah anda baca. Khalifah memerintahkan kepada Abdullah bin Saad untuk membunuh Muhammad bin Abu Bakar beserta kawan-kawannya," kata salah seorang pengacau itu.

"Tetapi bagaimanakah surat itu boleh sampai ke tangan kamu semua?" tanya Ali bin Abu Talib.

"Kami telah memeriksa dan menangkap penyiasat itu," kata mereka.

"Itulah sebabnya kamu semua kembali ke sini?" tanya Ali lagi.

"Ya" jawab mereka lagi.

"Kamu semua ini berasal dari berbagai daerah-Mesir, Suriah, Basrah dan Iraq. Nah, mengapa dalam waktu sesingkat itu kamu semua boleh tiba bersama di sini? Padahal daerah kamu semua masing-masing berjauhan," tanya Ali lagi.

"Anda tidak perlu bertanya tentang hal itu. Yang perlu adalah buktinya. Surat itu," terang mereka.

Ali kemudian menghadapkan beberapa orang daripada mereka kepada Khalifah Uthman. "Demi Allah. Aku tidak pernah menulis surat itu," kata Khalifah Uthman, meyakinkan mereka.

"Tetapi ini cap Khalifah !" 

"Mungkinkah setiausahaku, Marwan bin Hakam? Tetapi...mustahil !" kata Khalifah Uthman.

"Ditulis atau tidak ditulis olehmu, yang jelas kamu tidak sesuai untuk menjadi khalifah lagi. Kamu harus meletakkan jawatan ! bentak mereka.

"Meletakkan jawatan? Tidak boleh. Secara sah aku telah dilantik oleh rakyat," kata Khalifah Uthman.

"Meletakkan jawatan sendiri atau harus dipaksa dengan pedang ini," kata salah seorang pemberontak itu sambil memperlihatkan pedangnya.

"Aku tidak takut mati. Tetapi aku pun tidak mahu menumpahkan darah sesama muslim!" ucap Khalifah Uthman dengan tegas.

Di luar kediaman khalifah, para pemberontak telah mengepung.

Ketika itu musim haji. Ramai penduduk Madinah yang pergi ke Makkah. Ada juga para pengikut Khalifah Uthman yang sedang mengerjakan ibadat haji. Oleh kerana itu pengawalan di sekitar kediaman Khalifah tidak dikawal ketat.

Akhirnya Khalifah Uthman dapat ditahan oleh para pemberontak di rumahnya sendiri.

Secara diam-diam, Khalifah Uthman mengirimkan orang-orangnya ke Suriah untuk meminta bantuan daripada Muawiyah. Tindakan Khalifah Uthman ini diketahui oleh para pemberontak. Mereka amat marah dengan tindakan beliau itu.

Rumah Khalifah Uthman diserbu, tetapi merka tidak dapat masuk ke dalam kerana penjaga di pintu rumah begitu gagah bertahan.

Sebahagian daripada mereka kemudian mencari jalan lain agar dapat juga menceroboh masuk . Mereka berjaya memasuki rumah Khalifah Uthman secara senyap.

Ketika itu Khalifah Uthman sedang membaca al-Quran. Beliau tidak sempat bertindak apa-apa untuk mempertahankan diri ketika pedang pemberontak menghunjam tubuhnya.

Pada ketika pemberontak itu sedang menghanyunkan pedangnya ke arah Khalifah Uthman, isteri beliau melihatnya. Dia melompat untuk menangkap pedang yang terhayun itu. Sasaran pedang itu gagal dihalang. Sebaliknya jari-jarinya yang terputus.

Khalifah Uthman bin Affan meninggal dunia pada 18 Zulhijjah, 35 H (17 Jun, 656 M). Beliau meninggal dunia ketika berusia 82 tahun. Masa pemerintahannya tercatat selama dua belas tahun. Jasa-jasa suami Rukyah dan Ummi Kalsum (puteri Rasulullah s.a.w.) ini dalam menyebarkan agama Islam begitu besar. Sebahagian daripadanya tercatat dalam riwayat hidupnya.

Semoga Allah S.W.T membalas dengan pahala yang berlipat ganda. Amin.

Alhamdulillah.

Disusun : Suzie M.H.
Tajuk buku : SUBUH YANG MERAH ( UTHMAN BIN AFFAN )
Siri : SIRI KEPAHLAWANAN ISLAM
Tahun Cetakan : 1996
Penerbit : PENERBITAN AL-KAUTSAR
Dicetak oleh : -
Bilangan muka surat : 32
ISBN : 983-9792-36-9













Comments

Popular posts from this blog

Kisah Serigala dengan Nabi Ya'qub A.S. dan Nabi Ibrahim Dibakar

ISABELLA Pemusnah Islam di Sepanyol

IBNU RUSYD